Petang ini izinkan aku menitipkan sedikit coretan dalam kolum Imbauan Silam. Imbauan Silam aku kali ini adalah tentang program yang pernah aku laksanakan di peringkat PPD Melaka Tengah. Mulai tahun 2012 KPM telah menurunkan sedikit peruntukan untuk melaksanakan program berunsur patriotik di peringkat daerah. Bincang punya bincang, akhirnya dengan cadangan Tuan Timbalan PPD Melaka Tengah, kami telah merangka satu program yang dinamakan Kayuhan Merdeka 2012. Kebetulan Ketua Menteri Melaka ketika itu amat gemar juga berbasikal. Kertas kerja dirangka untuk membolehkan peruntukan itu dibelanjakan. Jawatan kuasa pun dibentuk. Tapi malangnya Ketua Menteri Melaka ketika itu Datuk Seri Mohd Ali Rustam tidak dapat bersama dalam program tersebut. Penggantinya perlu dicari dan semasa saya bermesyuarat dengan Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Mohd Sirat, beliau telah bersetuju untuk datang merasmikan program tersebut pada pagi Sabtu 14 September 2012.
Peserta bagi program ini adalah terbuka kepada semua murid yang mempunyai basikal dan melibatkan sebanyak 30 buah sekolah Menengah dan Rendah dalam daerah. Sambutan yang diberikan amat mengalakkan di kalangan murid dan juga guru. Rupa-rupanya ramai orang yang berminat berbasikal pada masa ini. Ada di kalangan peserta Kayuhan adalah terdiri daripada satu keluarga iaitu bapa, ibu dan anak-anak mereka. Terima kasih juga kepada SMK Malim yang telah banyak membantu dari segi teknikal kerana sekolah tersebut sudah mempunyai Kelab Basikalnya sendiri. Pada pagi Sabtu yang cerah seramai hampir 280 orang peserta Kayuhan telah dilepaskan oleh YB Datuk Mohd Sirat untuk mengayuh lebih kurang 10 kilometer. Aku juga telah turut serta dalam acara Kayuhan ini dengan menggunakan basikal Cap Ayam. Terjelir lidah aku mengejar anak-anak muda yang gagah mengayuh walaupun ini bukannya satu pertandingan. Aku surrender di tengah jalan. Basikal aku campak dalam lori yang mengekori dan aku pun membonceng motosikal rakan. Macam nak tercabut nyawa dibuatnya. Maklumlah tidak pernah buat latihan. Antara pengisian program adalah aktiviti di rumah Orang Tua dan mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan.
Alhamdulillah tiada sebarang kecelakaan berlaku sepanjang kayuhan. Terima kasih kepada pihak PDRM dan JPAM yang banyak membantu. Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Melaka Tengah, Encik Othman Sagap telah menyampaikan hadiah kepada para peserta yang bernasib baik dalam cabutan bertuah yang telah diadakan di akhir program. Terima kasih juga kepada warga PPDMT yang telah banyak membantu melaksanakan program.
KAYUHAN MERDEKA 2012 |
No comments:
Post a Comment