|
BAHAGIAN DEPAN RUMAH |
Salam Blogger,
Buat semua pembaca yang sudah pernah membaca atau yang pertama kali membaca Blog saya yang bertajuk :
Homestay Roemahkoe & Destiniku. Lama betul aku tak menceritakan tentang Homestay Roemahkoe. Asyik-asyik cerita tentang makan angin ku dan famili ke luar negara dan dalam negeri. Post kali ini aku ingin menceritakan tentang asal usul homestayku ini. Ceritanya bermula dari tahun 2003 lagi semasa aku mengajar di SMK Bukit Katil, Melaka. Tahun 2002 aku berpindah ke SMK Bukit Katil sebagai GPK HEM. Kebetulan sekolah itu baru dibuka pada 2001.
|
DI RUANG DAPUR |
Untuk makluman pada tahun 2003 aku telah berkawan dengan seorang rakan yang bekerja di sebuah sekolah di daerah Melaka Tengah. Beliau kebetulan tinggal di Klebang Besar. Beliau berkawan baik dengan seorang bekas Penghulu di kawasan Klebang Besar. Beliau telah memberi tahu saya bahawa Penghulu tersebut ingin menjual beberapa lot tanah sawah yang telah ditambak untuk pembangunan. Setelah berjumpa dengan Penghulu tersebut akhirnya aku bersetuju untuk membeli satu lot tanah seluas lebih kurang 5015 kaki persegi. Kalau tidak silapku tanah yang aku beli itu bernilai RM42,000 ketika itu. Harganya ialah RM8.50 satu kaki persegi. Aku memberitahu adikku, di Kajang. Beliau juga berminat dan bersetuju untuk membeli satu petak bersebelahan dengan tanahku. Aku membiarkan tanah itu untuk selama beberapa tahun untuk lebih mendap selepas ditambak.
Pada taun 2009 aku berhajat untuk membeli sebuah lagi rumah. Iaitu rumah ke tigaku. Aku hampir-hampir hendak membeli sebuah unit flat iaitu di Flat Seri Siantan, Bukit Baru. Aku sudahpun berbincang dengan seorang rakan yang ingin menjual rumahnya di tingkat 3, flat tersebut . Tempat itu amat cantik kerana amat berdekatan dengan banyak kemudahan seperti perpustakaan, masjid, sekolah, hospital dan banyak lagi. Harga yang ditawarkan kepada saya cuma RM46,000/ sahaja. Cukup mengancam. Aku hampir-hampir nak membelinya.
|
|
SEMASA RUMPUT BARU DITANAM |
|
Mujurlah isteriku mengingatkan bahawa aku mempunyai sebidang tanah di kawasan Kampung Tengah, Klebang Besar yang belum lagi diusahakan. Selepas mencari pelukis pelan aku dapatlah mengetahui peruntukan yang perlu disediakan. Aku telah meminjam RM 70,000 daripada Bank Rakyat. Aku serahkan kepada seorang kawan untuk menyiapkan rumah tersebut yang dianggarkan RM70,000. Malangnya duit aku habis rumahku tak siap. Isteriku terpaksa meminjam lagi beberapa ribu untuk memastikan rumah itu dapat disiapkan. Ada rasa malu dengan jiran kalau rumah tu tidak siap. Akhirnya pada tahun 2011 dapatlah rumah itu disiapkan oleh kontraktor yang kedua. Kontraktor pertama hilang entah ke mana. Tak kusangka seorang yang berperwatakan alim, berkopiah, berjubah rupa-rupanya tak amanah. Berhati-hati dengan manusia yang bergaya seperti seorang yang warak. Menggunakan agama untuk menipu orang. Rupa-rupanya ramai orang yang begini pada masa ini di sekeliling kita. Akhirnya, rumahku itu bernilai lebih daripada RM120,000/- Niat kita yang baik nak menolong rakan yang tiada projek. Rupa-rupanya rakan makan kawan. Malangnya nasibku.
|
SETELAH PAGAR SIAP |
No comments:
Post a Comment