Friday, 31 January 2014

KEDAI MAKAN BEST DEKAT HOMESTAY ROEMAHKOE

   

ROTI CANAI KUAH DAL
NASI AYAM
  

















TEH TARIK



 Salam Blogger ,

            Hari ini hari terakhir bulan Januari 2014. Sekelip mata dah habis sebulan tahun tahun 2014. Pantasnya masa berlalu pergi. Usia kita pun semakin bertambah. Alhamdulillah bulan Januari ini tetamu homestayku amat menggalakkan. Tujuh orang tetamu telah berkunjung ke homestay ku bermula dengan Uzir pada 6/1 hingga 7/1/14. Diikuti dengan Encik Nadir dari Kulim, Kedah dari 10/1 hingga 11/1/14. Kemudian Razi dari Kumpulan Monologue dari Kuala Lumpur yang kebetulan membuat persembahan di Hard Rock Cafe, Melaka pada 11/1 hingga12/1. Kemudian Uzir datang semula untuk menginap pada 16/1 hingga 18/1/14. Dan pada petang tadi Haji Yahya Suip dari Johor Bahru telah datang bersama keluarganya. Haji Yahya akan menginap sehingga 2/2/14. Haji Yahya adalah rakan ku semasa di UPM dahulu dari tahun 1986 hingga 1989. Alhamdulillah atas segala rezeki kurniaan Allah. Harap-harap pada bulan Februari ini keadaan akan lebih baik lagi.

MENIKMATI ROTI TISU
             Sebenarnya saya sedang merangka strategi untuk membawa Homestay Roemahkoe ke peringkat Global iaitu dengan membawa tetamu homestay dari luar Malaysia memandangkan persaingan yang sengit dalam industri ini di Melaka. Walaupun jumlah hotel sudah amat banyak di Melaka pada masa ini tetapi pada masa kemuncak seperti cuti persekolahan bilangan hotel masih tidak dapat menampung bilangan pengunjung yang datang ke Melaka Bandaraya Bersejarah ini. Maka dengan itu aku sedang mendekati Homestay.com dan juga Booking.com untuk menglobalkan homestay Roemahkoe.
             Sebenarnya sedang aku makan di Kedai Tomyam tadi aku teringat tentang tempat-tempat makan yang terdapat dekat Homestay Roemahkoe. Aku masih teringat lagi Puan Harlina yang datang ke Homestay Roemahkoe pada 31 Ogos 2013 yang lalu. Beliau asyik bertanya aku tentang Coconut Shake Original Klebang walau pada ketika itu sudah malam. Pastinya dah tutup. Baru aku perasan dia sedang berbadan dua. Untuk makluman tempat Coconut Shake itu amat berdekatan dengan homestay ku. Jaraknya adalah lebih kurang 2 kilometer dari homestay. Selain itu terdapat satu lagi tempat makan yang best iaitu YONG TAU FO di Jalan Pulau Gadung yang mula dibuka pada sebelah petang.  Di jalan masuk ke arah Jalan Stulang Daing iaitu berdekatan Kilang Biskut anda boleh mencuba Sup Rahmat. Rasanya macam sup mamak. Kalau kena dengan nasi panas aje dah mencukupi. Pasti terangkat. Selain itu di gerai-gerai Jalan  Pantai Klebang ada banyak gerai makanan. Tetapi yang kerap aku singgap adalah gerai Nasi Ayam A1. Berhadapan dengan Kolej Komuniti Tangga Batu. Kedudukan gerainya tepi sekali. Yang paling aku suka kat sini adalah Lauk Asam Pedas Ikan Kembung dengan telor Asin. Roti Canainya kaw juga kalau makan dengan asam pedas. Selain itu ada banyak lagi gerai-gerai lain yang tidak kurang popularnya di kawasan Klebang Besar ini seperti TomYam Anas depan Hotel Everly dan banyak lagi. Ada masa aku cerita lagi tentang makanan sedap di Melaka.







Thursday, 30 January 2014

NYIOR GADING PUNCAK MAHLIGAI : LOTUS RESORT DESARU





BAHAGIAN HADAPAN RESORT



EHSAN MENGHABISKAN BAKI TENAGA DI KOLAM

Salam Blogger buat semua pembaca,
          Pada pagi ini aku ingin menceritakan sedikit tentang satu lagi trip yang pernah aku dan famili ku kunjungi pada tahun 2013 yang lalu.  Trip kami pada 16-17 Mac 2013 yang lalu ialah ke Lotus Resort di Desaru. Kami amat teruja untuk ke sini disebabkan sejujurnya kami kami memang tidak pernah melalui jalan-jalan di kawasan ini.  Trip kami kali ini adalah semperna Hari Keluarga MBSB  zon Selatan yang telah diaturkan oleh pihak pengurusan MBSB @ Malaysian Building Society Berhad.

AKTIVITI DI PANTAI
         Alhamdulillah dalam kesibukan aku dalam melaksanakan tugas-tugas sebagai Penolong Pegawai Pelajaran Daerah aku masih sempat untuk menyertai Hari Keluarga yang diadakan oleh pihak MBSB. Aku masih ingat, ada pagi Sabtu itu aku masih sempat untuk menghadiri beberapa majlis yang di dalam daerah. Pagi itu aku telah ke SK Semabuk untuk menghadiri mesyuarat Agung PIBG bersama YB Datuk Gan Tian Loo, Exco Pendidikan dan selepas itu aku telah sempat ke Politeknik Merlimau untuk menghadiri Sambutan Hari Anti Dadah peringkat Negeri bersama Ahli Parlimen Jasin YB Datuk Hamzah.
        Selepas itu kami terus ke Desaru pada kira-kira jam 1130 pagi. Kami sempat singgah di JPO @ Johor Premium Outlet pada lebih kurang jam 200 petang untuk solat Zohor. JPO merupakan salah satu destinasi wajib singgah jika ke Johor Bahru kerana di sini terdapatnya banyak kedai yang menjual barangan berjenama. Kalau anda pernah ke Bandung, Indonesia yang terkenal dengan FO @ Factory Outlet yang banyak terdapat di merata tempat, di JPO kedai-kedai ini terletak di bawah satu bumbung atau diletakkan setempat. Bagi Kaki Shopping tempat ini adalah tempat mesti pergi kalau turun ke selatan.
       










Selepas melalui satu lebuhraya yang agak kurang sibuk kami pun sampailah ke persimpangan masuk ke Desaru. Banyak juga hotel-hotel persisir pantai di kawasan ini. Kami tiba di Lotus Resort pada lebih kurang jam 430 petang. Isteriku sibuk permainan yang perlu disertainya mewakili MBSB Melaka. Aku dan anak-anak pulak menikmati panorama indah di tepi laut mengadap Laut Cina Selatan. Terdapat juga satu kolam yang agak luas juga untuk anak-anak menghabiskan sisa baki tenaga yang masih berbaki.
       Pada sebelah malam kami menghadiri dinner yang telah diaturkan oleh pihak urusetia event. Selepas itu kami menghabiskan masa di laman resort  tepi pantai yang luas dengan pelbagai aktiviti seperti menari beramai-ramai dengan bermacam gaya sambil didendangkan pelbagai rentak lagu secara live. Masing-masing telah berusaha menunjukkan gaya tersendiri yang kadang-kala melucukan. Kami juga diajak bermain beranika jenis permainan yang amat menghiburkan.  Kepada  sesiapa yang belum pernah lagi ke sini, saya fikir tempat ini perlu diberikan perhatian untuk kunjungan percutian anda.







Wednesday, 29 January 2014

IMBAUAN SILAM : KAYUHAN MERDEKA 2012

 Salam Blogger buat semua pembaca.
             Petang ini izinkan aku menitipkan sedikit coretan dalam kolum Imbauan Silam. Imbauan Silam aku kali ini adalah tentang program yang pernah aku laksanakan di peringkat PPD Melaka Tengah. Mulai tahun 2012 KPM telah menurunkan sedikit peruntukan untuk melaksanakan program berunsur patriotik di peringkat daerah. Bincang punya bincang, akhirnya dengan cadangan Tuan Timbalan PPD Melaka Tengah, kami telah merangka satu program yang dinamakan Kayuhan Merdeka 2012. Kebetulan Ketua Menteri Melaka ketika itu amat gemar juga berbasikal.  Kertas kerja dirangka untuk membolehkan peruntukan itu dibelanjakan. Jawatan kuasa pun dibentuk. Tapi malangnya Ketua Menteri Melaka ketika itu Datuk Seri Mohd Ali Rustam tidak dapat bersama dalam program tersebut. Penggantinya perlu dicari dan semasa saya bermesyuarat dengan Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Mohd Sirat, beliau telah bersetuju untuk datang merasmikan program tersebut pada pagi Sabtu 14 September 2012.
           Peserta bagi program ini adalah terbuka kepada semua murid yang mempunyai basikal dan melibatkan sebanyak 30 buah sekolah Menengah dan Rendah dalam daerah. Sambutan yang diberikan amat mengalakkan di kalangan murid dan juga guru. Rupa-rupanya ramai orang yang berminat berbasikal pada masa ini. Ada di kalangan peserta Kayuhan adalah terdiri daripada satu keluarga iaitu bapa, ibu dan anak-anak mereka. Terima kasih juga kepada SMK Malim yang telah banyak membantu dari segi teknikal kerana sekolah tersebut sudah mempunyai Kelab Basikalnya sendiri.  Pada pagi Sabtu yang cerah seramai hampir 280 orang peserta Kayuhan telah dilepaskan oleh YB Datuk Mohd Sirat untuk mengayuh lebih  kurang 10 kilometer.  Aku juga telah turut serta dalam acara Kayuhan ini dengan menggunakan basikal Cap Ayam. Terjelir lidah aku mengejar anak-anak muda yang gagah mengayuh walaupun ini bukannya satu pertandingan. Aku surrender di tengah jalan. Basikal aku campak dalam lori yang mengekori dan aku pun membonceng motosikal rakan. Macam nak tercabut nyawa dibuatnya. Maklumlah tidak pernah buat latihan. Antara pengisian program adalah aktiviti di rumah Orang Tua dan mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan.
          Alhamdulillah tiada sebarang kecelakaan berlaku sepanjang kayuhan. Terima kasih kepada pihak PDRM dan JPAM yang banyak membantu. Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Melaka Tengah, Encik Othman Sagap telah menyampaikan hadiah kepada para peserta yang bernasib baik dalam cabutan bertuah yang telah diadakan di akhir program. Terima kasih juga kepada warga PPDMT yang telah banyak membantu melaksanakan program.

 
                                                                                                           KAYUHAN MERDEKA 2012

 













Friday, 24 January 2014

NYIOR GADING PUNCAK MAHLIGAI : SEJUK-SEJUK CAMERON HIGHLAND

SERAPAN DI SG PALAS TEA CENTER
Salam Blogger,
            Cameron Highland adalah satu lagi destinasi percutian yang wajar dikunjungi oleh semua. Aku pernah ke sini dulu semasa zaman masih berdua dengan isteriku. Kalau tidak silap ku kunjungan pertama dulu pada bulan Disember 1996. Ketika itu aku sibuk memeriksa kertas SPM. Aku sempat membawa beberapa skrip jawapan semasa pergi bercuti kerana hendak pergi bercuti sangat walaupun musim memeriksa kertas peperiksaan.
             Kunjunganku pada 17-19 March 2011 yang lalu telah mengimbau kenangan silamku semasa kunjungan yang pertama dulu. Kami pergi kali ini semasa isteriku menyambut ulang tahun kelahirannya. Dan kebetulan semasa cuti persekolahan. Kami menginap di Hotel Iris House di Brincang. Hujan menyambut kehadiran kami petang itu menambahkan lagi kedinginan yang mengigit hingga ke tulang. Mujurlah anak-anak ada membawa baju-baju tebal. Petang itu kami berjalan kaki ke Pasar Malam pekan Brincang. Amat meriah sekali. Mungkin disebabkan musim cuti sekolah. Beranika barangan dijual. Antaranya bunga-bunga segar dari puncak Cameron Highland. Pokok-pokok kaktus  yang beranika rupa dan bentuk. Aku sempat mencapai sehelai jaket semasa berjumpa kedai Bundle. Barulah rasa panas sikit.
            Di hari kedua kami mencari seorang guide untuk membawa kami ke beberapa lokasi menarik di Cameron Highland. Dengan membayar RM15/- seorang untuk dewasa dan RM8/- seorang untuk kanak-kanak kami mendapat seorang Guide yang membawa kami meng"explore" Cameron Highland. Guide kami seorang wanita Cina yang saya perhatikan begitu cekap membawa van nya yang boleh mengisi 12 orang. Tetapi ketika itu hanya kami berempat sahaja dalam van tersebut. Kami telah dibawa di kawasan-kawasan pedalaman tempat tea ditanam iaitu di Bharat Tea Plantation yang terkenal dengan Tea Boh. Kami menikmati keindahan alam flora dan fauna yang cukup memikat mata kami. Seterusnya kami dibawa ke ladang tempat penanaman bunga. Rasanya macam nak dibawa balik bunga-bunga tersebut yang segar-bugar dan berwarna-warni. Pengembaraan kami tamat pada sebelah petang.
          Pada sebelah malamnya kami ke pekan Brincang lagi untuk mencari ole-ole untuk dibawa balik. Antara ole-oleh yang boleh dibeli adalah serbok Tea yang pelbagai perisa, bunga-bunga kering  untuk hiasan, kraf tangan orang-orang asli dan pelbagai lagi. Makanan yang perlu dicuba di Cameron Highland adalah steamboat. Hari ketiga kami meninggalkan Cameron Highland setelah checkout kira kira jam 1200 tengahari. Kami sempat juga singgah di beberapa gerai yang menjual bunga sepanjang perjalanan turun dari Cameron Highland mencari bunga-bunga esotik untuk dibawa balik ke Melaka.
DI SG PALAS PLANTATION

































GUIDE KAMI YANG PERAMAH