Di hening malam ini hatiku sedikit terusik apabila aku terdengar kata-kata yang berbunyi " Di sini lahirnya sebuah Cinta ." Ungkapan itu sebenarnya telah terpilih menjadi tema bagi sambutan kemerdekaan negara kali yang ke 57 yang akan disambut pada hari Ahad minggu depan. Aku agak beremosi sejak senja dan malam ini apabila saluran Hot FM menyiarkan lagu-lagu berirama perlahan. Sepanjang perjalanan pulang ke kampung jam 8.30 malam tadi telinga kami dihidangkan dengan bacaan surah Yasin dan diselang-seli dengan irama yang amat mengetarkan naluri dan perasaanku lebih-lebih apabila mengenangkan peristiwa MH370 dan MH17. Esok telah diistiharkan sebagai hari berkabung untuk rakyat Malaysia sempena keberangkatan pulang mangsa-mangsa MH 17 dari Belanda. Aku pula ke kampung malam ini kerana menghantar ibuku pulang. Ibuku sudah seminggu berada di hospital Melaka.
Di sini lahirnya sebuah cinta. Kenyataan itu sesungguhnya memang kita semua tidak dapat menafikan. Di sini bercambahnya segala cinta-cinta yang ada dalam diri kita. Tidak kira status siapa kita, kita pasti berusaha melakukan yang terbaik untuk memastikan bumi bertuah ini sentiasa terbilang dan ke hadapan. Di bumi inilah tanah tumpahnya darah kita, dan di tanah bumi inilah juga kita kelak akan disemadikan. Hanya orang gila sahaja yang akan berusaha keras untuk menghancurkan bumi kelahirannya. Di sinilah segalanya bermula bagi kebanyakan kita. Di sinilah kita dilahirkan. Di sini juga kita dibesarkan, di sinilah kita mencari ilmu, dan di sinilah jugalah kita sepatutnya menaburkan bakti, menumpahkan keringat untuk mensejahterakan kehidupan generasi akan datang termasuklah anak-anak kita yang sudah semakin membesar.
Sudah semestinya kita tidak mahu melihat anak-anak kita atau waris kita kehidupan mereka lebih susah daripada kita hari ini. Kita mahu melihat kehidupan mereka semua lebih senang daripada kita. Adakah itu semua akan menjadi realiti di zaman kita tiada lagi nanti. Segala-gala bergantung kepada kebijaksanaan kepimpinan negara yang semestinya bukan orang gila yang dipilih untuk memimpin negara kita ini. Atau pemimpin yang rakus mengumpul harta tanpa memikirkan kehidupan rakyat jelata yang kesusahannya tanpa perhatian.
Akhir kata, marilah kita semua menyuburkan benih-benih cinta yang ada dalam setiap diri kita di negara yang kita semua sayang ini kerana "Di sinilah lahirnya sebuah cinta".
No comments:
Post a Comment