Tuesday, 12 August 2014

BUKIT MERTAJAM TEMPAT AKU DIBESARKAN

PINTU GERBANG SMK TINGGI BM

  
                  Salam Blogger Buat semua pembaca,
                  Pada pertengahan bulan Julai  atau bulan Ramadan yang lepas aku berkesempatan untuk ke Bukit Mertajam yang terletak di Seberang Perai. Aku berada di bandar ini kerana membantu pihak Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, KPM menjalankan pemantauan Program Rintis NBOS yang turut dijalankan di daerah Kulim, Kedah. Bagi negeri Kedah tiga daerah telah terpilih untuk perlaksanaan program ini. Iaitu selain Kulim Bandar Baru, daerah lain yang terlibat adalah Langkawi dan juga Kota Setar.
                 Aku dan rakan-rakan lain telah berada di Bukit Mertajam dari 12 hingga 14 Julai 2014 untuk menjalankan pemantauan di sekolah-sekolah dalam daerah Kulim Bandar Baru. Kami telah ditempatkan di Hotel Summit, Bukit Mertajam.
                 Sepanjang berada di Bukit Mertajam, kenangan silam ketika berada di sini satu ketika dahulu sering bermain di ingatan. Aku dan keluarga pernah berada di sini pada penghujung tahun 1975 sehinggalah tahun 1989 iaitu selepas ayah bersara dari perkhidmatan sebagai anggota Polis.  Tapak Hotel Summit itu sebenarnya adalah merupakan sebuah padang permainan kami pada ketika itu. Padang tersebut dikenali sebagai BMRC.  Kuarters Polis terletak betul-betul berhadapan dengan Hotel Summit. Begitu juga dengan Balai Polis Bukit Mertajam.
                 Ketika itu aku bersekolah di SMK Tinggi Bukit Mertajam dalam tingkatan Lima. SMK Tinggi Bukit Mertajam terletak berdekatan dengan  Stesyen Keretapi Bukit Mertajam. Aku menghabiskan persekolahan Tingkatan 5 dan 6 di bandar ini. Adik perempuanku pula bersekolah di SMK Convent Bukit Mertajam. Aku berada seketika sahaja di bandar ini kerana selepas itu aku telah melanjutkan pelajaranku di Maktab Perguruan Persekutuan, di Bukit Gelugor, Pulau Pinang atau lebih dikenali sebagai MPPP dari tahun 1979/80. Selepas itu aku sudah mula menjadi seorang guru di sebuah daerah di Pahang bermula dari tahun 1981.
                 Pada sebelah petang aku sempat untuk melihat Bandar Bukit Mertajam secara lebih dekat. Aku dapati banyak tempat kegemaran ku dahulu sudah tiada lagi. Antaranya panggung Cheok Sah berdekatan Stesyen Keretapi. Begitu juga dengan panggung Cathay yang juga sudah tiada lagi. Aku cuba mencari Kedai Buku Moh Hin yang sering aku kunjungi dahulu juga sudah tiada lagi. Aku mencari seorang rakan yang sama-sama belajar di kelas 5P1 SMK Tinggi Bukit Mertajam yang membuka kedai kain. Malangnya kedai bernama Patels & Sons tersebut juga sudah tidak lagi beroperasi. Begitu juga deretan kedai - kedai lain juga sudah tidak lagi bermaya. BM Supermarket yang terletak di atas pasar juga sudah tiada lagi. Malah Stesyen Keretapi Bukit Mertajam juga sudah bertukar lokasi. Aku perhatikan Kuarters Polis tempat aku pernah tinggal dulu pun sudah tidak berpenghuni lagi. Aku diberitahu bahawa Bandar Lama Bukit Mertajam itu sudah kurang diberikan tumpuan kerana sudah wujud banyak tempat baru yang lebih menarik lagi seperti bandar baru Perda dan banyak lagi. Selain di Bukit Mertajam, kami juga sempat tinggal di Bukit Rambai, Bukit Tengah dan Juru sepanjang ayah bekerja di Pulau Pinang.
               Kami meninggalkan bandar ini untuk ke Pulau Langkawi untuk meneruskan pemantauan program  NBOS di pulau legenda pada 14 hingga 17  Julai 2014.

   

Jalan Datuk Ooh Chooi Cheng, The tall building is Utama Plaza, Bukit Mertajam
DERETAN KEDAI LAMA DI BANDAR BUKIT MERTAJAM

LENCANA SMK TINGGI BM
TAPAK HOTEL SUMMIT INI ADALAH MERUPAKAN PADANG BOLASEPAK



DULU DIKENALI SEBAGAI BM SUPERMARKET
AKU PERNAH TINGGAL DI SINI

PINTU MASUK KE SMK TINGGI BKT MERTAJAM


No comments:

Post a Comment