Sunday, 31 August 2014

CHUPKE SE SUN : MELANKOLIKNYA SEBUAH CINTA

  Salam Blogger buat Semua,
                 Semalam kita baru selesai menyambut kemerdekaan kali ke 57. Di sini lahirnya sebuah cinta merupakan tema hari Kemerdekaan pada tahun ini. Pagi ini aku amat tertarik untuk bercerita tentang soal cinta. Dalam filem Mission Kashmir yang ditayangkan pada tahun 2000 yang lalu kisah cinta yang dibawa oleh watak Priety Zinta dan Hatrik Roshan begitu menyayat hati. Kisah berlaku berlatarbelakangkan semasa zaman peperangan antara India dan Pakistan. Kisah cinta sesama manusia ini amat menyentuh perasaan setiap peminat filem Bollywood ketika itu sehingga filem tersebut memenangi beberapa anugerah dalam festival filem pada masa itu.
               Cinta dalam filem ini perlu melalui pelbagai trajedi yang menghibakan. Itu antara  kisah cinta sesama manusia yang telah berjaya difilemkan oleh pihak pengusaha Bollywood sehingga filem barunya sentiasa dinanti-nanti pada ketika itu. Peranan Priety Zinta yang pandai menggoda serta Hatrik Roshan yang macho sudah berjaya menjadikan filem itu melengkapi resipi untuk melariskan filem Mission Kashmir ketika itu.              
               Berbalik kepada soal cinta, setiap individu mukmin sewajarnya peka terhadap kehadiran cinta di dalam jiwa. Cinta yang berasaskan nafsu dan syahwat semata-mata hanyalah cinta palsu. Cinta yang penuh jijik dan dihina. Apatah lagi dalam suasana masyarakat remaja khususnya tertipu dengan propaganda 14 Februari yang kononnya ialah hari Kekasih. Maka sibuklah dunia berbicara soal cinta yang lebih menjurus kepada cinta karut-marut yang bertemakan mainan perasaan yang sama sekali terseleweng dari kehendak Islam. 
             Memiliki cinta Allah seharusnya menjadi kebanggaan individu mukmin lantaran keagungan nilai dan ketulusan ihsan-Nya. Namun menjadi suatu kesukaran untuk meraih cinta Allah tanpa pengabdian yang menjurus tepat kepada-Nya. Cinta Allah umpama satu anugerah yang tertinggi dan tidak mungkin sesiapa dapat memilikinya kecuali didahulukan dengan pengorbanan yang mahal. Cinta Allah adalah syarat yang utama untuk meletakkan diri di dalam barisan pejuang-pejuang kalimah Allah SWT.
               Semoga Allah memberikan ganjaran terhadap usaha yang kecil ini dalam membersihkan jiwa pemuda-pemuda dari sebarang permainan perasaan yang hanya akan menyesatkan fikiran. Apakah Kedudukan Cinta Di Dalam Islam? 
              Adakah Islam memusuhi cinta? Adakah sebegini kejam sebuah agama yang disifatkan menepati fitrah? Sebenarnya tidak. Malah Islam memandang tinggi persoalan cinta yang tentunya merupakan perasaan dan fitrah yang menjiwai naluri setiap manusia. Namun, cinta di dalam Islam perlulah melalui pelbagai peringkat keutamaannya yang tersendiri.
             Aku akhiri post kali ini dengan sebuah lagu dari filem Mission Kashmir. Selamat mendengar.
             

               

Thursday, 28 August 2014

PROGRAM SARANA IBUBAPA / SARANA SEKOLAH 2014





                Salam Blogger Buat Semua,

                 Alhamdulillah pada hari ini 28 Ogos 2014 (Khamis) pihak Unit Pengurusan Kemanusiaan (UPK)Pejabat Pendidikan Daerah Melaka Tengah telah berjaya melaksanakan satu lagi program yang banyak berkaitan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia @ PPPM 2013-2025. Walaupun dengan ketiadaan Tuan Pegawai Pendidikan Daerah, Encik Andul Halim bin Abdul Malek dan juga tuan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah iaitu Encik Jumat bin Mat Lani.
               Pagi Khamis yang basah ini telah menyebabkan kelewatan tiba para peserta dari sekolah-sekolah dalam di Melaka Tengah. Hujan telah turun sejak subuh.  Program telah bermula pada jam 9.00pagi setelah hampir tiga suku daripada audien telah berada dalam Dewan Kolej Yayasan Saad. Aturcara program telah berubah kerana ketiadaan Tuan Pegawai Pendidikan Daerah.Ketua Unit Pembangunan Kemanusiaan telah memulakan majlis dengan memberikan sedikit gambaran selayang pandang tentang Program Sarana yang telah bermula sejak penghujung 2013 lagi. Antara intipati ucapan adalah tentang data yang diterima oleh pihak PPD yang masih kurang menarik. Begitu juga dengan peratus penubuhan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa di sekolah-sekolah Melaka Tengah.
             Slot seterusnya diserahkan kepada Encik Amiruddin Sahudi iaitu YDP PIBG SK Setia Wangsa, Kuala Lumpur. Sekolah Kebangsaan SetiaWangsa baru-baru ini telah dinobatkan sebagai sekolah yang terbaik dalam pengurusan PIBG peringkat  Kebangsaan pada April yang lalu. Slot kali ini adalah lebih kepada perkongsian maklumat atau Best Practises yang telah membawa SK Setia Wangsa sebagai johan Kebangsaan dengan membawa pulang RM50,000.
            Encik Amiruddin telah membawa bersama-sama beberapa orang YDP PIBG sekolah lain yang terdapat di sekitar Kuala Lumpur. Banyak input berguna telah dapat dikongsi bersama dengan Guru-guru, Pengetua-pengetua, Yang Dipertua PIBG serta wakil-wakil yang telah dijemput ke majlis pada pagi ini. Rata-rata audien yang telah berpuas hati dari penerangan yang telah diberikan oleh Encik Amiruddin serta rakan-rakan YDP yang dibawa sama. Dan ramai wakil sekolah yang telah berminat untuk memjemput beliau ke sekolah masing-masing. Program telah selesai pada jam 2.00 petang dan saya difahamkan jadual Encik Amiruddin amat penuh kerana jemputan yang diterimanya daripada pelbagai pihak selepas beroleh kejayaan  sebagai PIBG Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2012/13















Sunday, 24 August 2014

JONKER WALK NIGHT MARKET MENGHIDUPKAN MALAM

Photos of Jonker Street, Melaka  
Photos of Jonker Street, Melaka
Salam Blogger buat semua  pembaca,
                Dalam postku kali ini aku ingin menarik perhatian pembaca tentang satu lagi destinasi perlancongan yang kebelakangan ini menjadi perhatian para pelancong dari luar Melaka. Tempat yang saya maksudkan itu adalah Jonker Walk yang terletak di Jalan Hang Jebat. Jonker Walk ini hanya dibuka pada hujung minggu iaitu pada hari Jumaat hingga Ahad. Tempat ini sebenarnya merupakan sebuah Pasar Malam yang menjual beranika jenis barangan. Tempat ini akan bermula operasinya bermula dari jam 6.00 malam sehinggalah ke larut malam.
                Di Jonker Street ini sebenarnya dipenuhi dengan kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis barangan antik. Pengemar-pengemar barang antik biasanya akan datang ke tempat ini untuk mencari barang-barang lama. Antara barangan lama yang boleh terdapat di sini adalah perabut-perabut lama, piring hitam lama,  alat- alat hiasan, barangan perhiasan dan pelbagai lagi jenis hiasan. Kebiasaannya pada hujung-hujung minggu jalan di sini akan menjadi cukup sesak dengan para pelancong asing yang akan datang untuk melihat suasana di sini.
                     Di kawasan ini juga terdapat cukup banyak hotel budjet diusahakan oleh orang tempat dan juga orang luar. Antaranya adalah Jonker Boutique  Hotel Terdapat juga hotel bertaraf 5 bintang yang terdapat dekat kawasan ini iaitu seperti Hotel Casa Del Rio yang juga terletak dekat muara Sungai Melaka.  Banyak juga terdapat tempat makanan yang menarik di sini. Cuma antara berani atau tidak jer untuk mencubanya.
                   Jika anda akan berkunjung ke Melaka, jangan lupa datang ke Jonker Walk.
                   




             









             

Friday, 22 August 2014

PROGRAM SERIBU LANGKAH PAGI SABTUKU



Salam Blogger Buat Semua


HOTEL CASA DEL RIO DI MUARA SUNGAI
SUASANA MALAM DI SG MELAKA
        











  SG MELAKA YANG MENGGAMIT PENGUNJUNG
MURAL YANG MENARIK DI BANGUNAN
                         Aku amat teruja untuk pada pagi Sabtu ini untuk menyertai Pelancaran 2 Program Dalam Satu yang telah dirancang oleh Sektor Pengurusan Kemanusiaan, JPM. Program - program itu adalah Pelancaran Bulan Kecergasan dan satu lagi adalah Pelancaran Bulan Kemerdekaan peringkat Negeri. Isteri dan anak-anakku juga turut teruja untuk bersama-sama menyertainya. Isteriku bersemangat untuk menyertai kerana beliau akan terlibat dalam satu kejohanan sukan peringkat zon pada bulan hadapan yang akan berlangsung di Muar. Anak-anakku pula bersemangat kerana trek laluan program seribu langkah pada pagi ini adalah akan melalui tepi Sungai Melaka yang cukup indah dengan landskapnya yang menjadi kebanggaan kami rakyat Melaka. 
                       Aku tiba di lokasi agak lewat kerana terpaksa menghantar salah seorang anakku ke sekolah tambahan yang diadakan pada hari ini. Belum sempat aku nak bersama-sama bersenamrobik beramai-ramai bersama Tuan Pengarah, seorang demi seorang rakan-rakanku berjumpa dan bercerita pelbagai perkara tentang kerja dan tugas yang perlu dilaksanakan di empat bulan terakhir sebelum selesai tahun 2014. Begitu juga dengan rakan-rakan dari sekolah juga berjumpa dan memberitahuku program-program yang akan sekolah jalankan di samping itu turut menjemput aku untuk bersama-sama dalam program tersebut. Ketika itu anak dan isteriku terus menghilang membawa diri kerana tahu suaminya antara orang yang sangat dicari-cari oleh pihak sekolah dan rakan taulan. Kalau dia tunggu, dia juga yang akan boring akhirnya.
                     Akhirnya aku diheret juga oleh rakan ke Samudera Cafe berhampiran setelah puas menolak untuk berbual lebih panjang dan bercerita perkara-perkara yang lebih intim. Cadangan asalku untuk bersama dalam program berjalan seribu langkah hanyut ke Sungai Melaka dan telah bertukar kepada Program Seribu Langkah ke Cafe. Tetapi aku tetap berpeluh walaupun tidak dapat berjalan seribu langkah bersama Tuan Pengarah serta pegawai- pegawai kanan yang lain.



RIVER CRUISE SG MELAKA











 

Thursday, 21 August 2014

DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA

Salam Blogger buat semua,
                   Di hening malam ini hatiku sedikit terusik apabila aku terdengar kata-kata yang berbunyi " Di sini lahirnya sebuah Cinta ."  Ungkapan itu sebenarnya telah terpilih menjadi tema bagi sambutan kemerdekaan negara kali yang ke 57 yang akan disambut pada hari Ahad minggu depan. Aku agak beremosi sejak senja dan malam ini apabila saluran Hot FM menyiarkan lagu-lagu berirama perlahan. Sepanjang perjalanan pulang ke kampung jam 8.30 malam tadi telinga kami dihidangkan dengan bacaan surah Yasin dan diselang-seli dengan irama yang amat mengetarkan naluri dan perasaanku lebih-lebih apabila mengenangkan peristiwa MH370 dan MH17. Esok telah diistiharkan sebagai hari berkabung untuk rakyat Malaysia sempena keberangkatan pulang mangsa-mangsa MH 17 dari Belanda. Aku pula ke kampung malam ini kerana menghantar ibuku pulang. Ibuku sudah seminggu berada di hospital Melaka.
                  Di sini lahirnya sebuah cinta. Kenyataan itu sesungguhnya memang kita semua tidak dapat menafikan.  Di sini bercambahnya segala cinta-cinta yang ada dalam diri kita. Tidak kira status siapa kita, kita pasti berusaha melakukan yang terbaik untuk memastikan bumi bertuah ini sentiasa terbilang dan ke hadapan. Di bumi inilah tanah tumpahnya darah kita, dan di tanah bumi inilah juga kita kelak akan disemadikan. Hanya orang gila sahaja yang akan berusaha keras untuk menghancurkan bumi kelahirannya. Di sinilah segalanya bermula bagi kebanyakan kita. Di sinilah kita dilahirkan. Di sini juga kita dibesarkan, di sinilah kita mencari ilmu, dan di sinilah jugalah kita sepatutnya menaburkan bakti, menumpahkan keringat untuk mensejahterakan kehidupan generasi akan datang termasuklah anak-anak kita yang sudah semakin membesar.
                 Sudah semestinya kita tidak mahu melihat anak-anak kita atau waris kita kehidupan mereka lebih susah daripada kita hari ini. Kita mahu melihat kehidupan mereka semua lebih senang daripada kita. Adakah itu semua akan menjadi realiti  di zaman kita tiada lagi nanti.  Segala-gala bergantung kepada kebijaksanaan kepimpinan negara yang semestinya bukan orang gila yang dipilih untuk memimpin negara kita ini. Atau pemimpin yang rakus mengumpul harta tanpa memikirkan kehidupan rakyat jelata yang kesusahannya tanpa perhatian.
               Akhir kata, marilah kita semua menyuburkan benih-benih cinta yang ada dalam setiap diri kita di negara yang kita semua sayang ini kerana "Di sinilah lahirnya sebuah cinta".

Sunday, 17 August 2014

VIRAL YANG MENAKUTKAN

Image result for bunuh diri

Image result for bunuh diri
  Salam buat semua pembaca,
         Dalam akhbar hari ini  Ahad 17 Ogos 2014 pelbagai kisah tentang kematian dihidangkan kepada para pembaca.  Satu fenomena yang amat menakutkan kita adalah tentang peristiwa membunuh diri yang amat kerap berlaku kebelakangan ini. Kalau dahulu cerita seumpama ini banyak berlaku di luar negara tetapi kini perkara ini dah menjadi satu perkara biasa di negara kita. Malah melibatkan juga saudara kita yang beragama Islam.      
                  Bunuh diri ialah perbuatan untuk menamatkan atau menghilangkan nyawa diri sendiri. Ianya boleh dilakukan dengan pelbagai cara, dengan cara fizikal luaran, dalaman atau kedua-duanya sekali.
       Contoh cara luaran : Membakar diri sendiri atau cara dalaman dengan menyuntik racun ke dalam badan sendiri. Penyebab penamatan nyawa ini biasanya kerana enggan berhadapan dengan sesuatu perkara yang dianggap tidak dapat ditangani. Kejadian membunuh diri ini lazimnya berlaku kepada mereka yang menghadapi tekanan sama ada dari segi mental atau fizikal. Mereka ini akan bertindak di luar pemikiran akal yang waras. Mereka ini juga selalunya daripada individu yang bermasalah seperti masalah dalam keluarga, putus cinta, dan sebagainya. Bagi semua agama, membunuh diri dianggap tidak baik. Malah, menurut kitab Islam, Kristian dan Yahudi membunuh diri adalah satu dosa besar.
                  Pada  9 Mei 2014 lalu kita dikejutkan dengan peristiwa seorang gadis Melayu yang telah terjun dari tingkat 6 Bangunan Center Point, Kota Kinabalu pada jam 12.30 pagi Jumaat akibat dari tekanan emosi. Gadis itu sempat memuatturun perkara yang hendak dilakukannya itu dalam facebook sebelum kejadian.
Image result for bunuh diri
                Kemudian pada 14 Februari 2014 di Berjaya Times Square, seorang wanita Cina telah terjun dari Tingkat 6 bangunan tersebut. Pada akhir tahun 2013 iaitu 27 Disember seorang lelaki Cina telah terjun dari tingkat 9  di tempat yang sama.
               Dan pada 24 April 2014 yang lalu seorang wanita Cina telah membunuh diri di terminal One di Seremban dengan terjun dari Tingkat 6 bangunan tersebut pada jam 4.00 petang ketika orang ramai berada di situ.

PERISTIWA DI TERMINAL ONE, SEREMBAN PADA 14 FEBRUARI 2014
bunuh diri
PERISTIWA DI CENTER POINT,KK
             
          

HASRINA CHEE


             Dan hari ini kita dikejutkan lagi dengan cerita seorang isteri yang telah terjun dari Apartmen Camelia di Kajang selepas bertengkar dengan si suami. Fenomena ini telah menjadi semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
            Malah sepanjang saya menjadi Penolong PPD (Pengurusan Kemanusiaan) beberapa kes seumpama ini telah berlaku di kalangan murid-murid sekolah.  Misalnya satu kes yang berlaku 8 Februari 2011 di SMK Seri Kota apabila seorang murid tingkatan 5 telah terjun dari Tingkat Dua bangunan sekolah tersebut dan terhentak kepalanya di simen gelanggang bola tampar yang terdapat di bawah. Kawan-kwan yang ternampak peristiwa itu seolah-olah tergamam seperti tidak percaya peristiwa yang berlaku di depan mata.
            Naik bulu romaku secara tiba-tiba apabila melihat satu mayat gadis Cina terbujur di gelanggang bola tampar pada jam 9.30 pagi semasa aku berada di tempat kejadian. Murid itu jatuh dari tingkat 2 iaitu semasa P&P sedang berjalan.  Malah murid tersebut juga telah menyatakan hasratnya itu di dalam Facebook  pada hari sebelum kejadian.
           Perkara ini sesungguhnya amat menakutkan. Soalnya sekarang, apakah peranan kita dalam usaha membendung viral ini daripada terus menular!


    

PADANG BESAR YANG MENGGAMIT PELANCONG







  Salam Blogger buat semua, 
                    Dua minggu lepas semasa saya membuat pemantauan  NBOS di daerah Kota Setar, Kedah Darul Aman kami telah sempat berkunjung ke bandar Padang Besar. Bandar ini terletak dalam negeri Perlis. Padang Besar terletak di bahagian sempadan antara Malaysia dan Thailand.  Perjalanan dari Alor Setar ke Padang Besar, Perlis mengambil masa lebih daripada sejam.
DALAM KAWASAN ARKED
                  Pada petang Rabu itu kami telah sampai ke bandar Padang Besar lebih kurang jam 4.15  petang.   Keadaan bandar Padang Besar tidaklah begitu sibuk pada petang itu kerana merupakan hari bekerja. Kami dimaklumkan bahawa semua kedai ditutup pada jam 6.00 petang.  Oleh sebab pengunjung yang tidak ramai, layanan yang diberikan oleh peniaga di sini amat istimewa sekali. Perkara ini tidak akan berlaku sekiranya datang pada musim cuti sekolah ataupun pada hujung minggu.
              Terima kasihlah kepada pihak JPN Kedah yang telah menyediakan sebuah bas untuk membawa kami ke Padang Besar untuk mengisi jadual aktiviti kami pada sebelah petang. Beranika jenis barangan ada dijual di bandar Padang Besar. Bagi pengemar jersi bola sepak pastinya di sinilah tempat untuk mencari jersi pasukan kegemaran masing-masing dengan harga yang amat berpatutan semurah RM 10/- sahaja. Kebanyakan jersi ini datangnya dari negara Thailand.
              Rambang mata aku dibuatnya apabila melihat jersi-jersi yang dijual dengan harga yang begitu murah sekali.  Selain itu banyak lagi barangan lain yang terdapat dijual di Padang Besar. Perkara yang paling ialah kita mestilah pandai menawar harga barangan yang kita inginkan itu.  Rombongan kami meninggalkan bandar ini agak lewat juga kerana golongan Cik Kiah yang kelihatan sangat teruja dengan barangan yang dijual di sini. Kami meninggalkan bandar ini pada lebih kurang jam 615  petang. Kami tiba di Hotel StarCity, Alor Setar pada jam 7.30 malam.           
         
   
MENCARI JERSI KEGEMARAN


NASI AYAM BERAS SPESIAL

BARANGAN DARI THAILAND
    

    


BARANG KEMAS TURUT DIJUAL



BAHAGIAN DALAM ARKED
 
BERANIKA T SHIRT YANG MENARIK
TOPI KELEDAR TURUT DIJUAL