Friday, 9 May 2014

HARI-HARI YANG BERLALU

   Salam Blogger Buat Semua Pembaca,
              Alhamdulillah, minggu ini genaplah sebulan aku dilanda musibat diserang sakit misteri pada awal bulan lepas. Keadaan diri ini rasanya sudah kembali normal seperti biasa. Terima kasih kepada sahabat-sahabat sekeliling yang banyak membantu aku dalam menzahirkan program-program yang perlu dilaksanakan di peringkat unit. Terima kasihlah kepada rakan-rakanku di unit yang sama-sama menjayakan 3 program peningkatan sahsiah murid secara berterusan selama 3 minggu berturut-turut iaitu pada 23 April 2014, 30 April 2014 dan terbaru pada 7 Mei 2014 yang baru lalu bertempat di Kolej Putra International.
              Tidak lupa juga kepada Majlis Guru kaunseling Daerah MT yang turut membantu untuk menjayakan program-program tersebut. Program program ini banyak berkait dengan program DTP @ District Tranformation Program bagi setiap PPD yang terdapat di Malaysia. Harap-harap selepas beberapa siri program dijalankan ini peratus kehadiran murid sekolah dalam daerah MT bertambah baik iaitu mencecah 95% kehadiran. Setakat akhir bulan April lalu masih terdapat 5 buah sekolah menengah yang peratus kehadirannya berada di bawah 90 %. Selebihnya berada di atas 90 %. Iaitu antara 91 hingga 99%.
             Begitu juga dengan masalah displin murid dalam daerah MT. Alhamdulillah, peratusnya masih berada di bawah 1%. Angka ini sentiasa dipantau melalui Dashboard Prestasi sekolah-sekolah dalam daerah MT.
             Aku dan rakan-rakan lain di PPD sentiasa diingatkan tentang tanggungjawab setiap pegawai sebagai seorang pemimpin oleh Tuan Pengarah. Seorang pemimpin itu nanti akan disoal, apakan peranan yang telah dimainkannya sebagai seorang pemimpin.

             Menurut perspektif Islam, ada dua peranan yang dimainkan oleh seorang pemimpin:
1. Pelayan (Khadim)
Pemimpin adalah pelayan bagi pengikutnya. Seorang pemimpin yang dimuliakan orang lain, belum tentu menjadi tanda kemuliaan baginya. Ini kerana pemimpin yang baik adalah pemimpin yang mampu berkhidmat dan menjadi pelayan bagi pengikut atau rakyatnya. Seorang pemimpin sejati, mampu meningkatkan kemampuan dirinya untuk memuliakan orang-orang yang dipimpinnya. Dia menafkahkan lebih banyak, dia bekerja lebih keras, dia berpikir lebih kuat, lebih lama dan lebih mendalam dibanding orang yang dipimpinnya. Demikianlah pemimpin sejati berteladankan Rasulullah SAW. Bukan seperti pemimpin yang selalu ingin dilayani, selalu inginkan sesuatu dari orang-orang yang dipimpinnya.
 2. Pemandu (Muwajjih)
Pemimpin adalah pemandu yang membawa atau mendorong pengikutnya kepada jalan yang terbaik agar selamat sampai kepada tujuan yang sebenar. Ini akan hanya tercapai dengan sempurna jika di bawah naungan syariat Islam berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.

                                     CIRI-CIRI PEMIMPIN DALAM ISLAM
 Perlu disedari, dalam memilih pemimpin, ada tanggungjawab yang akan dipikul di hadapan Allah SWT terhadap pilihan kita. Di antara ciri2 pemimpin dalam Islam, ialah:

1. Jujur
Pemimpin Islam mestilah jujur terhadap dirinya sendiri serta pengikutnya. Seorang pemimpin yang jujur akan menjadi contoh terbaik yakni pemimpin yang perkataannya selari dengan perbuatannya.

2. Layak
Kelayakan di dalam kepimpinan serta ilmu2 berkaitan mestilah dimiliki oleh seorang pemimpin Islam. Orang ramai hanya akan mengikuti seseorang jika mereka benar-benar meyakini bahawa orang yang memimpin mereka benar-benar berilmu serta mengetahui apa2 yang sedang dan akan dilakukannya.

3. Pendorong (Inspirasi)
Orang ramai akan merasa lapang sekiranya pemimpin mereka membawanya pada rasa tenang dan menimbulkan rasa optimis walau seburuk mana sekalipun situasi yang sedang dihadapi.

4. Sabar
Pemimpin Islam haruslah bersabar dalam menghadapi segala macam persoalan dan masalah, serta tidak bertindak tergesa-gesa dalam mengambil sebarang keputusan dalam apa jua situasi. Segala keputusan dibuat berdasarkan pertimbangan yang teliti.

5. Rendah diri
Seorang pemimpin Islam hendaklah memiliki sikap rendah diri, tidak suka menunjukkan kelebihannya (riya') serta tidak merendahkan atau menghina orang lain.

6. Musyawarah
Dalam menghadapi setiap persoalan, seorang pemimpin Islam haruslah menempuh jalan musyawarah serta tidak menentukan keputusan sendiri. Asy-Syaikh Abdurrahman As-Sa'di—rahimahullah—mengatakan: "Jika Allah mengatakan kepada Rasul-Nya—padahal beliau adalah orang yang paling sempurna akalnya, paling banyak ilmunya dan paling banyak ideanya, "Maka bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu." (QS. Ali Imran: 159). Maka bagaimana dengan pemimpin2 selain baginda?"

7. Berkomunikasi dengan rakyatnya
Seorang pemimpin Islam juga perlu pandai berkomunikasi dengan orang ramai. Kematangan seorang pemimpin akan membuatnya mampu berkomunikasi dengan mengenepikan sikap emosional atau kepentingan sendiri. Dan yang terpenting dari semua itu adalah pemimpin akhirnya mampu mengambil satu tindakan yang tepat di dalam apa jua keadaan.

                                   CIRI-CIRI PENGIKUT DALAM ISLAM
1. Taat
Seorang pengikut harus sentiasa patuh kepada pemimpin. Sekiranya pemimpin dipilih berdasarkan jalan musyawarah, maka wajib bagi pengikutnya untuk mematuhi pemimpin tersebut, kecuali pemimpin secara terang-terangan telah melanggar perintah Allah.

2. Dinamis dan kritis
Seorang pengikut harus dinamis dan kritis dalam mengikuti kepemimpinan seseorang. Islam tidak mengajarkan kepatuhan membuta tuli. Ini kerana manusia tidak lari dari melakukan kesalahan. Hanya Al-Quran dan As-Sunnah sahaja petunjuk yang benar dan harus diikuti.

         Dan sebagai seorang pengikut pulak, kita mestilah mengikut ciri-ciri pengikut yang baik seperti dalam Islam. Janganlah pulak kita merosakkan organisasi kita dengan pelbagai cara. Sekiranya masih ada sifat-sifat negatif itu sebaik-baiknya keluarlah atau dikeluarkan dari organisasi tersebut sebelum organisasi itu menjadi rosak. Perlu diingat dalam sebuah bahtera cuma ada seorang nakhoda dan tidak lebih dari itu.   Sekian.    
  



No comments:

Post a Comment