Friday, 23 May 2014

CERITERA PISANG

  Salam Blogger Buat semua pembaca Blogku yang budiman,


PISANG EMAS


PISANG RASTALI
                    Di pagi yang syahdu ini aku tertarik untuk bercerita tentang pisang.  Entah mengapa tiba-tiba pisang terlintas dalam mindaku pada awal pagi ini.  Selepas menunaikan solat subuh tadi tiba-tiba ajer pisang termasuk dalam lorong minda ku.  Saya percaya semua orang pernah makan pisang. Termasuklah saya tidak terkecuali. Pisang kegemaran saya semestinya pisang Rastali dan pisang Berangan. Malah anak saya EshakirinQayyum yang kecil itu setiap kali tahu saya nak ke Pasar Malam pastinya akan mengingatkan saya tentang pisang kegemarannya. Orang rumah saya pun suka pisang juga.
                   Pisang mudah diperolehi di mana-mana. Sesungguhnya negara kita cukup kaya dengan pelbagai jenis pisang.  Dari sebesar-besar pisang seperti pisang Tanduk hinggalah sekecil-kecil pisang seperti pisang Emas. Terdapat lebih dari 14 jenis pisang yang boleh ditemui dan ditanam di sini. Dalam istilah sainsnya, pisang tergolong dalam Order Zingerberalis, iaitu kumpulan keluarga Musaceae dan genus Musa. Genus Musa boleh dibahagikan kepada dua kumpulan; Eumusa iaitu kumpulan yang boleh dimakan dan Phusocaulis, yang tidak boleh dimakan.

PISANG NANGKA
                  Sesungguhnya pisang sangat dan amat signifikan dengan adat orang - orang Melayu. Sebagai contoh, orang akan membawa pisang ke Mesjid jika tertunainya hajat besar yang sekian lama dinanti-nantikan. Puaslah kita makan pisang hari Jumaat tu jika ada orang yang membawa pisang ke mesjid untuk menunaikan hajat di hati pada minggu itu. Pada kebiasaannya orang akan membawa pisang emas. Kemungkinan  harga pisang emas yang agak rendah berbanding dengan pisang-pisang lain.
                  Pada sebelah petang pula, sambil-sambil lepak di kedai kopi pun orang mencari pisang goreng. Memang enak dimakan pisang goreng pada sebelah petang sambil menghirup kopi O panas. Biasanya pisang yang biasa digoreng adalah pisang Nangka, pisang Awak, pisang Tanduk dan pisang Nipah. Dapat dicicah pula dengan kicap. Memang enak sekali.
                  Pisang Rastali pulak enak dimakan selepas makan sebagai pencuci mulut. Selain itu ada juga orang menghidangkan pisang Montel selepas makan bagi tujuan yang sama.  Pisang yang sudah agak nak expire pulak, biasanya orang akan membuat jemput-jemput pisang. Sebenarnya daripada pisang  pelbagai jenis kuih muih boleh dibuat. Malah sekarang kek pisang pun sudah ada dalam pasaran. 
          
           Pisang sebenarnya mempunyai banyak khasiat.  Menurut kajian tempatan yang dilakukan, 100 gram pisang menyediakan 1.2 gm protein, 0.3 gm lemak, 17 mg kalsium, 78 mg karotena, 88 mg kalium, 27.2 gm karbohidrat, 0.4 gm serabut, dan 116 kcal tenaga.
Pisang juga mengandungi asid, enzim, dan sebatian kimia penting. Ia juga mengandungi tiga jenis gula semulajadi iaitu sukrosa, fruktosa, dan glukosa. [3] Gula semulajadi ini amat penting untuk kanak-kanak yang sedang membesar.
Selain itu, menurut Persatuan Pisang Antarabangsa, pisang juga mengandungi magnesium, fosforus, iodine, kuprum, vitamin B1, B2, B6 & C, niasin, dan folat.
          Penyelidikan yang dijalankan membuktikan dua biji pisang boleh membekalkan tenaga untuk kita melakukan kerja atau senaman berat selama 90 minit.
Selain itu dalam perubatan traditional, jantung pisang dianggap elok untuk pelbagai organ dalam badan seperti jantung, hati, paru-paru dan limfa.
           Inshallah di kesempatan yang lain saya akan menceritakan lebih lanjut tentang khasiat pisang.
          Sekian, wassalam.

 

No comments:

Post a Comment