Friday, 30 May 2014

CHECK IN CHECK OUT : BUKIT TINGGI KALI KE 2

      
 Salam Blogger Buat semua,
                     Trip ini sudah lama dirancang.  Sebenarnya aku pernah membawa rakan-rakan di PPD Melaka Tengah sebelum ini dua tahun sebelum ini. Kali ini aku bersama rakan-rakan dari PPD dan JPM pula. Trip kedua kali ini telah berlangsung pada 26 hingga 29 November 2011. Selain daripada rakan PPD dan JPM, trip kali ini turut disertai oleh rakan dari JPN Pahang, JPN Selangor dan dari KPM Putrajaya. Trip kali ini adalah selama 4 hari 3 malam. Iaitu pada malam terakhir kami sempat menginap semalam di Padang, Indonesia iaitu di Hotel Bonda, Padang.
                      Di Bukit |Tinggi, kami menginap di Hotel Nikita. Kami sempat mengunjungi banyak tempat menarik.  Suasana di Bukit Tinggi agak nyaman pada ketika itu dengan cuacanya yang agak sejuk pada sebelah pagi. Dari jauh kedengaran azan subuh menyeru umat supaya mengerjakan solat.  Di depan Hotel Nikita pula amat meriah dengan penjaja yang menjual beranika barangan manarik seperti Kain Tudung dengan harga-harga yang jauh lebih rendah berbanding dengan di kedai-kedai.
                  


                     Yang paling seronoknya di sini ialah ketika menikmati makanan Padang yang lain daripada di tempat kita.  Air Apokat sentiasa menjadi pilihan ahli rombongan. Air yang jarang kita dapat minum di Malaysia.  Tempat yang wajib pergi ialah di kawasan dekat dengan Jam Gadang. Jam yang menjadi lambang Kota Bukit Tinggi. Berdekatan dengan Jam Gadang ada Pasar Atas tempat shopping yang menjual beranika jenis barangan seperti batik, hiasan rumah, barangan kulit, kain-kain sulam 'handmake" yang sangat menarik, lukisan dan macam-macam lagi.
                    Dalam lawatan kali ini kami sempat pergi ke rumah HAMKA, seorang ulamak yang terkenal di Indonesia. Perjalanannya amat mencabar sekali kerana terpaksa menaiki bukit dan seterusnya menuruni bukit di jalan yang sangat sempit sekali. Saya hampir-hampir nak muntah dibuatnya kerana melalui jalan-jalan yang berkelok-kelok. Kedudukan rumah HAMKA  terletak berhampiran dengan kawasan tasik yang agak luas sekali.
                   Salah satu tempat yang sempat kami kunjungi adalah sebuah pondok Pasantren Al- Ma Arif. iaitu sebuah sekolah agama. Kami juga sempat pergi ke Lubang Jepang. Cuma kali ini aku tidak masuk kerana sudah masuk ketika trip sebelum ini. Kami juga telah melawat ke sebuah pusat mengajar cara membuat sulaman. Kami berjumpa dengan pelajar yang berasal dari Melaka.
               Semasa di Kota Bukit Tinggi kami sempat bersolat di Masjid Raya Bukit Tinggi. Dalam perjalanan balik ke Padang, kami sempat singgah di Istana Pagar Ruyong yang telah diperbaiki selepas terbakar sebelum ini. Pada malam akhir kami menginap di Padang. Tiada apa-apa yang menarik di Padang. Cuma cuacanya agak panas  berbanding dengan Bukit Tinggi
             Kami meninggalkan Bukit Tinggi dengan pelbagai kenangan indah untuk dibawa pulang ke Malaysia.
            Wassalam.










Tuesday, 27 May 2014

PERSARAAN GURU BESAR SJKC BERTAM HULU - PUAN OOI SIEW GUAT

     Salam Blogger Buat semua,
                Aku agak tertarik untuk bercerita tentang persaraan seorang Guru Besar iaitu dari SJKC Bertam Hulu yang telah berlangsung pada siang tadi 27 Mei 2014  Hujan yang turun sepanjang pagi tadi seolah-olah turut menangisi persaraan seorang Guru Besar yang sangat disayangi oleh warga sekolah ini. Seorang anak Perlis Indera Kayangan yang telah menumpahkan keringatnya di negeri Melaka selama lebih 36 tahun. Beliau berkahwin dengan orang Melaka lantas terus mengambil keputusan untuk menetap di negeri Melaka Bandaraya Bersejarah.
                Walaupun hanya 3 tahun sempat berkhidmat di SJKC Bertam Hulu, beliau telah berjaya membuat beberapa perubahan di sekolah ini. Cuma beliau agak terkilan kerana projek bangunan baru sekolah tidak berjaya dibangunkan. Pada saya Guru Besar ini seorang yang gigih kerana selepas menamatkan pengajiannya di Maktab Perguruan Seri Pinang, Pulau Pinang pada tahun 1976/77 beliau telah menyambung pengajiannya di USM, Pulau Pinang untuk mendapatkan Bachelor Science and Mathematics dari tahun 2003 sehingga 2006. Selang dua tahun selepas itu beliau telah menyambung pengajiannya di OUM, Kuala Lumpur untuk menperolehi Master Of Education pada tahun 2008  hingga 2009. Pada bulan Januari 2011 beliau telah ditempatkan di SJKC Bertam Hulu sebagai Guru besar.
                 Dalam Majlis persaraannya pada pagi tadi saya telah diberikan penghargaan untuk mewakili Tuan Pengarah Pendidikan Melaka dan juga Tuan Pegawai Pendidikan Daerah Melaka Tengah.  Malangnya tidak ramai Guru Besar yang dapat hadir sama kerana pelbagai program JPN Melaka dan PPD Melaka Tengah sedang berlangsung pada masa yang sama. Saya juga amat tersentuh apabila melihat ada murid yang telah menangis kerana sayangkan Guru Besarnya yang telah bersara. Murid tersebut baru berada dalam darjah 2. Murid yang berusia semuda itu sudah pandai menghargai jasa baik yang telah diberikan oleh Guru Besarnya itu. Majlis telah diceriakan dengan beberapa persembahan yang disediakan oleh Jawatankuasa program. Majlis pada pagi tadi turut dihadiri oleh pihak LPS sekolah serta barisan Jawatankuasa PIBG SJKC Bertam Hulu.
                 Akhirkata Selamat Bersara Puan Ooi. Selamat maju jaya selepas bersara nanti.
             













Sunday, 25 May 2014

KEM PEMANTAPAN SAHSIAH PELAJAR ASRAMA SSN SMK SERI KOTA 2014

    Salam Blogger buat semua,

                    PROGRAM : Kem Pemantapan Sahsiah Pelajar Asrama
                    TEMPAT : SSN SMK Seri Kota
                    TARIKH : 23-24Mei 2014
                   ANJURAN : PPDMT Bersama SSN SMK Seri Kota

                 Alhamdulillah satu lagi program di bawah DTP selesai dilaksanakan pada 23 hingga 24 Mei 2014 yang baru lalu. Terima kasih kepada Unit Kaunseling SSN SMK Seri Kota yang telah menjayakan program yang telah berlangsung dari hari Jumaat sehinggalah jam 5.00petang Sabtu lepas.  Terima kasih kepada Tuan PPD Melaka Tengah, Encik Abdul Halim bin Abdul Malek yang telah sudi datang untuk menyempurnakan penutupan program tersebut. Kehadiran Tuan PPDMT amat disanjung kerana saya difahamkan pada pagi Sabtu itu Tuan PPD telah menghadiri dua program di sekolah dalam daerah Melaka Tengah.
                  Dalam usaha untuk melahirkan jati diri pelajar yang kental dan seimbang, pelajar-pelajar ini perlu diberikan pendedahan dan penghayatan yang sesuai  selaras dengan pelbagai isu-isu rencam yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Dan antara objektif program adalah untuk melahirkan individu yang berjaya di dunia dan juga di sisi Allah.. Di samping itu untuk memberi pendedahan cara pengurusan masa dan diri secara lebih berkualiti.
                  Inshallah siri yang kedua akan diadakan di SMK Seri Tanjung pada bulan Jun 2014 yang akan datang.
                   Sekian.

UZTAZAH ROGAYAH DI SLOT MUHASABAH DIRI
TUAN PPDMT DI MAJLIS PENUTUP

ENCIK BAHRIM MENYAMPAIKAN CENDERAHATI

PPDMT MENYAMPAIKAN UCAPAN PENUTUP

PARA PESERTA DI MAJLIS PENUTUP

UCAPAN DARI ENCIK BAHRIM (GPK HEM)

NYANYIAN NEGARAKU DI MAJLIS PENUTUP



DI AKHIR SLOT MUHASABAH DIRI



Friday, 23 May 2014

CERITERA PISANG

  Salam Blogger Buat semua pembaca Blogku yang budiman,


PISANG EMAS


PISANG RASTALI
                    Di pagi yang syahdu ini aku tertarik untuk bercerita tentang pisang.  Entah mengapa tiba-tiba pisang terlintas dalam mindaku pada awal pagi ini.  Selepas menunaikan solat subuh tadi tiba-tiba ajer pisang termasuk dalam lorong minda ku.  Saya percaya semua orang pernah makan pisang. Termasuklah saya tidak terkecuali. Pisang kegemaran saya semestinya pisang Rastali dan pisang Berangan. Malah anak saya EshakirinQayyum yang kecil itu setiap kali tahu saya nak ke Pasar Malam pastinya akan mengingatkan saya tentang pisang kegemarannya. Orang rumah saya pun suka pisang juga.
                   Pisang mudah diperolehi di mana-mana. Sesungguhnya negara kita cukup kaya dengan pelbagai jenis pisang.  Dari sebesar-besar pisang seperti pisang Tanduk hinggalah sekecil-kecil pisang seperti pisang Emas. Terdapat lebih dari 14 jenis pisang yang boleh ditemui dan ditanam di sini. Dalam istilah sainsnya, pisang tergolong dalam Order Zingerberalis, iaitu kumpulan keluarga Musaceae dan genus Musa. Genus Musa boleh dibahagikan kepada dua kumpulan; Eumusa iaitu kumpulan yang boleh dimakan dan Phusocaulis, yang tidak boleh dimakan.

PISANG NANGKA
                  Sesungguhnya pisang sangat dan amat signifikan dengan adat orang - orang Melayu. Sebagai contoh, orang akan membawa pisang ke Mesjid jika tertunainya hajat besar yang sekian lama dinanti-nantikan. Puaslah kita makan pisang hari Jumaat tu jika ada orang yang membawa pisang ke mesjid untuk menunaikan hajat di hati pada minggu itu. Pada kebiasaannya orang akan membawa pisang emas. Kemungkinan  harga pisang emas yang agak rendah berbanding dengan pisang-pisang lain.
                  Pada sebelah petang pula, sambil-sambil lepak di kedai kopi pun orang mencari pisang goreng. Memang enak dimakan pisang goreng pada sebelah petang sambil menghirup kopi O panas. Biasanya pisang yang biasa digoreng adalah pisang Nangka, pisang Awak, pisang Tanduk dan pisang Nipah. Dapat dicicah pula dengan kicap. Memang enak sekali.
                  Pisang Rastali pulak enak dimakan selepas makan sebagai pencuci mulut. Selain itu ada juga orang menghidangkan pisang Montel selepas makan bagi tujuan yang sama.  Pisang yang sudah agak nak expire pulak, biasanya orang akan membuat jemput-jemput pisang. Sebenarnya daripada pisang  pelbagai jenis kuih muih boleh dibuat. Malah sekarang kek pisang pun sudah ada dalam pasaran. 
          
           Pisang sebenarnya mempunyai banyak khasiat.  Menurut kajian tempatan yang dilakukan, 100 gram pisang menyediakan 1.2 gm protein, 0.3 gm lemak, 17 mg kalsium, 78 mg karotena, 88 mg kalium, 27.2 gm karbohidrat, 0.4 gm serabut, dan 116 kcal tenaga.
Pisang juga mengandungi asid, enzim, dan sebatian kimia penting. Ia juga mengandungi tiga jenis gula semulajadi iaitu sukrosa, fruktosa, dan glukosa. [3] Gula semulajadi ini amat penting untuk kanak-kanak yang sedang membesar.
Selain itu, menurut Persatuan Pisang Antarabangsa, pisang juga mengandungi magnesium, fosforus, iodine, kuprum, vitamin B1, B2, B6 & C, niasin, dan folat.
          Penyelidikan yang dijalankan membuktikan dua biji pisang boleh membekalkan tenaga untuk kita melakukan kerja atau senaman berat selama 90 minit.
Selain itu dalam perubatan traditional, jantung pisang dianggap elok untuk pelbagai organ dalam badan seperti jantung, hati, paru-paru dan limfa.
           Inshallah di kesempatan yang lain saya akan menceritakan lebih lanjut tentang khasiat pisang.
          Sekian, wassalam.

 

Thursday, 22 May 2014

HARI GURU NEGERI MELAKA 2014

     Tarikh : 22 Mei 2014 @ Khamis
     Tempat : Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh
     Masa : 9.00 Pagi hingga 12.00 Tengahari
     Event : Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri  Melaka 2014
     Tema : Guru : Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi
      Perasmi : YAB Datuk Ir Haji Idris bin Haji Harun
                       Ketua Menteri Melaka

      Salam Blogger buat semua,
                     Siang tadi telah berlangsung sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Melaka. Pada kebiasaannya sambutan ini dibuat pada hari Sabtu tapi pada tahun ini diadakan pada hari Khamis. Sambutan peringkat Nasional telah pun berlangsung di PWTC, Kuala Lumpur pada 16 Mei yang lalu iaitu pada hari Jumaat.
                     Seperti biasa pelbagai acara telah diadakan sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri. Antaranya majlis bacaan Yasin dan solat Hajat. Juga majlis-majlis kesyukuran agama Hindu, Kristian dan Buddha. Aktiviti derma darah, program tautan kasih dan beberapa lagi program lain.
Tahniah kepada individu yang telah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru 2014 iaitu Tuan Haji Sairi bin Haji Tahir iaitu mantan Pengarah Pendidikan Melaka pada 1999/2000. Juga kepada Haji Mohd Raus bin Haji Md Sam, mantan Timbalan Pengarah Pendidikan Melaka 2004/05 dan juga kepada Hajah Norbi Hj Husin, mantan Ketua Sektor Ketua Sektor Pengurusan Akademik 2004/2007 di Jabatan Pelajaran Melaka.
                      Tahniah juga kepada rakan-rakan yang telah menerima anugerah Pengarah dari Tuan Pengarah Pendidikan Melaka.
                      Akhir kata, Selamat Hari Guru  & Terima Kasih Cikgu.