BERGAMBAR BERSAMA EN. JUMAT DAN HJ KASIM @MANTAN PENGARAH PENDIDIKAN MELAKA
Salam blogger buat semua pembaca blogku ini,
Aku agak tertarik untuk bercerita salah satu lagi keajaiban dunia yang pernah aku kunjungi. Tempat yang aku maksudkan itu terletak di Indonesia. Atau lebih tepat lagi di daerah Magelang, Jawa Tengah. Aku telah ke sini pada penghujung Februari 2010 yang lalu. Tempat ini menjadi salah satu lagi tempat dianggap sebagai objek wisata jika kita berada di Jogjakarta. Tempat ini sebenarnya adalah tempat ibadat bagi orang beragama Buddha di Indonesia. Borobudur bermaksud biara di perbukitan mengikut bahasa Sanskrit. UNESCO telah menjadikan tempat ini sebagai salah satu tempat warisan dunia sama seperti Bandaraya Melaka Bersejarah.
Borobodur telah dibangunkan sekitar tahun 800 Masehi atau abad ke 9. Dibina oleh penganut agama Buddha Mahayana pada zaman pemerintahan Wangsa Syailendra Dinasti Syailendra. Raja yang bertanggung jawab membina candi ini adalah Raja Samaratungga. Dibina sekitar tahun 824M dan siap sekitar tahun 900 Masehi iaitu ketika pemerintahan Ratu Pramudawardhani. Arkitek yang merekabentuk candi ini adalah Gunadharma.
Satu ketika dahulu, candi ini berabad-abad tidak digunakan. Sebahagian candi ini telah tertutup oleh tanah volcanic kerana letusan gunung berapi. Dan sebahagian lagi tertutup oleh semak dan pepohon sejak puluhan tahun. Pada tahun 1814 ketika pihak Inggeris menduduki Indonesia, Sir Stamford Raffles telah mendengar penemuan kota purba di daerah Magelang. Beliau memerintahkan HC Cornelius mengkaji tempat tersebut. Dengan bantuan hampir 200 orang tempatan ketika itu habis pohon-pohon besar dan semak belukar ditumbang dan dibersihkan. Raffles telah mendapat penghargaan masyarakat dunia sebagai orang yang menghidupkan kembali kawasan ini. Pada tahun 1835 seluruh kawasan candi sudah berjaya digali semula. Selepas Indonesia merdeka, barulah proses pembaikan candi ini dilakukan secara besar-besaran dengan bantuan pihak UNESCO bermula pada tahun 1973 dan siap pada tahun 1984. Pada tahun 1991 tempat ini dipilih sebagai salah satu World Heritage Site.
Candi ini terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Jogjakarta. Binaan candi ini terdiri dari 10 tingkat. Iaitu 6 tingkat berbentuk bujur, 3 tingkat berbentuk bundar, dan terdapat sebuah stupa utama di bahagian atas. Di setiap tingkat terdapat beberapa stupa. Keseluruhannya terdapat sebanyak 72 stupa. Di keempat-empat sisi candi terdapat pintu gerbang dan tangga. Ketinggian candi ini adalah setinggi 42 meter. Pembinaannya tanpa menggunakan simen. Batu-batu binaannya diambil daripada sungai berhampiran. Batu-batu itu diangkut, dipotong dan disusun seperti lego membentuk sebuah candi. Di dinding candi ini pula diukir dengan beberapa gambar objek berkaitan keagamaan dan memberikan satu perkisahan kepada para pengunjung.
Pembinaan Candi Borobodur ini jelas membuktikan kehebatan manusia pada satu ketika dahulu dalam bidang pembinaan membuat kita terfikir sejenak tentang kesepaduan usaha manusia pada ketika itu. Kalau hendak seribu daya.
|
No comments:
Post a Comment