Salam Blogger buat semua pembaca,
Malam ini aku agak terpanggil untuk berkongsi cerita semasa saya berada di Pulau Pinang pada bulan September dan Oktober 2013 yang lalu. Ketika ini aku telah diminta untuk menjalankan satu kajian bersama pihak EPRD, Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mejalankan soalselidik di 100 buah sekolah yang terletak di Pulau Pinang. Kami telah diberikan masa selama 2 minggu sahaja untuk menjalankan kajian tersebut di sekolah-sekolah yang terletak di bahagian pulau sahaja. Ramailah rakan-rakan baru aku kenali di sekolah-sekolah yang aku kunjungi. Termasuklah juga rakan-rakan yang berada di Jabatan Pendidikan Pulau Pinang dan di Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut dan Pejabat Pendidikan Daerah Barat Daya.
Pada sebelah petang dan malam pula ada rakan-rakan yang akan membawa kami menikmati suasana di Pulau Pinang. Kami dibawa sehingga ke Batu Feringgi untuk melihat suasana Pasar malam di Batu Feringgi. Alangkah terkejutnya apabila mendapati sudah semakin banyak kedai-kedai yang dimiliki oleh orang orang Arab. Dah jadi macam di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pulak.
Barangan-barangan yang dijual pula kebanyaknya datang dari Vietnam, Thailand dan China. Banyak sungguh barangan hiasan yang dijual di Pasar malam Batu Feringgi ini. Semasa kunjungan kami yang terakhir pada tiga tahun lepas, keadaannya tidaklah semeriah ini dari segi bilangan kedai. Cuma kali ini bilangan orang yang datang tidaklah begitu ramai kerana bukan musim cuti sekolah.
Pada hujung minggunya isteri dan anak-anakku telah datang ke Pulau Pinang. Aku sempat membawa mereka ke beberapa tempat tarikan yang terdapat di Pulau Pinang. Antara tempat yang kami kunjungi adalah ke Bukit Bendera. Kereta api Bukit Bendera sudah berubah wajah. Tidak lagi seperti kereta api ketika aku berada di sini dulu. Pergerakannya yang agak laju menghilangkan serinya berbanding dengan keretapi Bukit Bendera tahun-tahun 1970an dulu.Kami juga sempat bersolat di Masjid Terapung yang terletak di Tanjung Bungah. Kami juga sempat mencuba beraneka jenis makanan yang terdapat di Pulau Mutiara. Yang wajib dicuba adalah Nasi Kandar Pulau Pinang yang terdapat di mana-mana jua seperti Nasi Kandar Line Clear di Penang Road. Pasembur satu lagi makanan yang mesti kena try jika berada di Pulau Pinang. Sesungguhnya Pulau Mutiara bolehlah dianggap sebagai Syurga Makanan bagi yang kaki makan.
Tempat-tempat makan tarikan yang boleh kita pergi adalah seperti di Padang Kota Lama, Gurney Drive, Upper Penang Road dan banyak lagi tempat-tempat makan yang menjadi kunjungan. Termasuklah bahagian hadapan QueensBay Mall yang berhadapan dengan Pulau Jerejak. Dan sebagai buah tangan untuk dibawa balik jangan lupa membeli dan membawa balik Jeruk Madu Pak Ali sebagai ole-ole dari Pulau Pinang. Malangnya Jeruk Madu Pak Ali tiada dijual di Lapangan Terbang Bayan lepas.
Wasallam.
No comments:
Post a Comment