MERCU TANDA PEKAN MARANG |
Sejak pulang bercuti di Terengganu beberapa hari yang lalu tanganku bagaikan ditarik-tarik untuk mencoretkan sesuatu tentang pekan Marang yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari Bandar Kuala Terengganu. Kedudukannya lebih kurang 20 kilometer dari Kuala Terengganu. Dalam perjalanan ke Marang kita akan melalui jalanraya yang hampir dengan pantai Laut Cina Selatan. Kita akan melalui beberapa perkampungan kecil seperti Rusila, Kampung Simpang Empat, Kampung Rhu Dua, Kampung Rhu Rendang dan banyak lagi kawasan perkampungan kecil yang lain.
Di sepanjang jalan sebelum tiba di Marang kita akan dapat melihat dengan begitu banyak sekali chalet dan homestay yang diusahakan oleh penduduk yang tinggal berhampiran dengan kawasan pantai. Antara chalet atau homestay yang boleh saya namakan adalah seperti Chalet Rendang, Chalet D Rhu, Homestay Ayah Wan, Melor Guest House, Lavender Guest House dan banyak lagi. Di pekan Marang juga terdapat sebuah hotel iaitu Hotel Seri Malaysia, Marang yang terletak betul-betul mengadap laut Cina Selatan.
Tiba sahaja di lampu isyarat persimpangan untuk masuk ke pekan Marang kita akan berjumpa dengan sebuah replika sebuah Udang dan Sotong Raksasa. Seingat aku replika ini sudah lama wujud. Mungkin sudah melebihi 20 tahun lalu. Aku masih ingat satu ketika dulu beberapa tahun silam semasa aku ke Kuala Terengganu replika itu sudah sedia ada. Replika ini bolehlah dianggap sebagai mercu tanda pekan Marang. Secara kebetulan aku berada di pekan Marang pada hari Rabu. Aku dapat merasai kemeriahan pekan Marang pada pagi itu kerana pada setiap hari Rabu diadakan Pasar Pagi yang membuat pekan kecil itu sedikit meriah. Ramai penjaja dari luar Marang yang telah datang untuk menjual barang dagang masing-masing. Peramah sungguh orang-orang Marang, sedikit ditanya pelbagai jawaban diberikan. Membuat aku agak teruja untuk bertanya lagi dan lagi.
Pagi itu aku berserapankan Nasi Beryani Marang Style. Nasi yang sudah sedia dibungkus dengan berlaukkan ayam seketul. Anak-anakku pula makan ketupat dengan Kuah Kacang. Amat menyelerakan sekali. Malang sekali nasi Beryani hanya tinggal sebungkus sahaja. Ada yang tersirat di sebalik itu. Mungkin nak mintak kami sekadar merasainya aje supaya tidak kempunan.
Pelbagai barangan dagangan ada dijual seperti pakaian, buah-buahan, sayur-sayuran, barangan hiasan dan juga beranika jenis makanan yang mesti dicuba. Di pekan Marang sebenarnya terdapat jeti untuk pergi ke Pulau Kapas salah satu pulau percutian di Terengganu. Maka tidak hairanlah ramai pelancong asing terdapat di pekan ini.
Marang, inshallah aku akan datang lagi.
No comments:
Post a Comment