Monday, 16 June 2014

IMBAUAN KENANGAN SILAM KETIKA KE LOST WORLD, IPOH

         Salam Blogger buat semua pembaca,
                    Sambil aku membelek-belek foto-foto koleksi ku dalam komputer ini, terkesan oleh ku siri foto-foto yang sempat aku rakam semasa bercuti pada bulan Mac yang lalu. Secara tepatnya pada 23 hingga 25 Mac 2014 yang baru lalu. Aku telah ke Ipoh, Perak. Sebenarnya sehari sebelum itu aku telah ke Singapura untuk melihat perkembangan pendidikan di PSB Academy, Pulau Singa itu bersama sekumpulan guru-guru kaunseling di daerah Melaka Tengah.
                    Pada pagi Ahadnya pula kami telah ke Ipoh. Tujuan kami ke sana adalah untuk ke The Lost World yang terletak di Ipoh, Perak. Kebetulan ketika itu adalah cuti sekolah dan aku telah mengambil cuti selama 3 hari. Pertama kali aku telah meminta isteriku untuk memandu kereta dengan aku duduk di sebelahnya. Beliau juga rasa teruja kerana dapat memandu dalam jarak yang agak jauh iaitu dari Melaka sehinggalah ke R&R Tapah. Satu jarak yang agak jauh dalam rekod pemanduan beliau setakat ini.  Seterusnya selepas makan tengahari dan solat aku telah meneruskan pemanduan sehinggalah ke Hotel Ritz Garden, Ipoh. Kami tiba lebih kurang jam 3.00 petang
                    Bandaraya Ipoh tidaklah terlalu asing pada aku kerana aku pernah bersekolah dari darjah 1 sehingga ke Tingkatan 4 di Ipoh iaitu dari tahun 1966 sehinggalah ke tahun 1975. Sayang seribu kali sayang pada pengamatanku bandaraya Ipoh tidak banyak menampakkan perbezaannya seperti zaman persekolahan aku dahulu. Perhentian bas di Medan Kid, masih seperti itu jua. Air Pancutan dekat rumah Menteri Besar masih lagi wujud. Bezanya adalah ia tidak berfungsi lagi.
                  Cuma apabila melalui jalan ke Tambun aku nampak ada sedikit pembangunan berlaku.  Jalan yang pernah aku berkayuh basikal dari Kem Ulu Kinta sehinggalah ke SMK Anderson, Ipoh pada tahun-tahun 1970an kerana ada pertandingan bolasepak antara kelas pada sebelah petang. Semangatnya aku berkayuh selepas balik ke rumah kira-kira jam 3.00 petang dengan menaiki trak Polis dan selepas makan terus mencapai basikal tua ayah ke sekolah semula untuk bermain bolasepak pada jam 4.30 petang. Jaraknya lebih 10 batu. Bertenaga sungguh aku ketika itu. Melalui Jalan Tambun telah mengimbau kembali kenangan 40 tahun silam.  Aku sempat menceritakan perkara itu kepada anak-anakku dan juga isteri semasa dalam perjalanan ke The Lost World of Tambun.
                 Tidak kusangka tempat Hot Spring di Tambun satu ketika dulu sudah bertukar wajah menjadi tempat tarikan pelancong di Ipoh. Keseronokan berada di Lost World sukar untuk digambarkan. Namanya pun tempat keriangan khasnya bagi kanak-kanak. Pelbagai tarikan terdapat di kawasan ini. Selain daripada kolamnya yang besar di bahagian tengah-tengah, terdapat juga kolam air panas. Banyak permainan yang berasaskan air terdapat di taman tema ini. Selain itu terdapat juga satu kawasan di mana pelbagai jenis haiwan terdapat termasuklah Pak Belang.  Terdapat juga beranika jenis permainan disediakan di sini. Pendek kata berbaloilah jika kita berada dari pagi sehingga ke petang. Mujurlah pada petang itu awan mendung telah menghalang kami untuk berada dengan lebih lama di taman tema ini.
                 Pada kesokan harinya kami telah meninggalkan Ipoh dengan wajah yang birat dan hitam kerana sehari suntuk berpanas di taman Teman The Lost World.
















No comments:

Post a Comment