Assalamualaikum wbt buat semua pembaca.
Satu lagi lokasi wisata yang ingin saya kongsikan bersama rakan pembaca sekiranya berada di Kota Bandung adalah Jalan Cihempelas. Saya dimaklumkan bahawa di kawasan ini terdapat lebih daripada 245 buah hotel terletak di kawasan ini. Dan sekiranya tujuan wisata anda ke Bandung untuk bershopping tempat ini adalah satu lagi tempat yang perlu diberikan perhatian oleh pengunjung. Jika anda berjumpa dengan patung-patung SuperHero di Bandung bermakna anda sudah sampai di Jalan Cihempelas. Cukup banyak sekali terdapat patung Superhero di kawasan ini. Antaranya yang boleh saya sebutkan adalah seperti Spiderman, Rambo, Ultraman, Tarzan, Ironman dan banyak lagi patung Superhero lain yang boleh anda temui di jalan ini. Inilah antara keunikan tempat ini dan tarikan untuk datang ke tempat ini.
Apabila menyebut tentang hotel pula, banyak sungguh pilihan yang boleh dibuat jika ingin menginap di sini. Antaranya Hotel Amaris, Hotel Fave, Hotel Cihempelas 2 dan banyak lagi dari yang tiada bintang hinggalah yang 5 bintang. Jalan ini ada orang sebut sebagai Jeans Street kerana terlalu banyak kedai yang menjual jeans di sini. Kita boleh mendapat seluar jean dari harga semurah Rp100,000. Jeans yang dijual di sini ada pelbagai jenis dari yang mahal dengan kualiti yang baik dan ada juga murah yang terjangkau untuk dibeli. Dan dari satu kedai ke satu kedai, barang yang dijual adalah hampir sama iaitu pakaian. Dan bagi orang yang selalu pergi ke Bandung tempat ini mungkin agak membosankan kerana yang dijual adalah jeans di mana-mana saja.
Di kawasan ini juga terdapatnya Cihempelas Walk atau disebut sebagai Ciwalk. Di sini terdapat banyak kedai aksesori wanita, kedai-kedai makan fast food seperti KFC, Macdonald dan macam-macam lagi. Terdapat juga beberapa Factory Outlet di kawasan ini yang boleh anda singgah jika berada di sini. Sememangnya Bandung juga sangat terkenal kerana kewujudan cukup banyak sekali FO di merata tempat di Bandung. Antaranya yang terkenal adalah Rumah Mode atau disebut Rumah Mod, FO, The Oasis, The Secret FO, FO Heritage dan banyak lagi. Saya cuma sempat ke sebuah FO sepanjang berada di Bandung tempohari iaitu FO Summit.
Saya berada di kawasan ini selama lebih kurang 2 jam sahaja pada 2 Jun 2015 yang lalu sebelum berangkat balik. Semoga beberapa gambaran yang diberikan boleh menjadi panduan anda sekiranya datang berwisata di Bandung satu hari nanti.
|
No comments:
Post a Comment