Kita baru sahaja menyambut Hari Kemerdekaan kali yang ke 57 baru-baru ini. Sambutan tidak kurang meriahnya walaupun beberapa tragedi telah menimpa negara pada tahun ini. Yang terbaru trajedi MH17 yang telah ditembak di sempadan Ukraine. Malah sebelum 31 Ogos yang lalu negara juga telah mengistiharkan 23 Ogos 2014 yang lalu sebagai Hari Berkabung bagi seluruh negara semasa sebahagian mayat mangsa MH17 telah dibawa balik dari Belanda.
Tema bagi hari Kebangsaan pada tahun ini adalah Malaysia : Di sini lahirnya sebuah cinta perlu disedari dan disyukuri warga yang mengakui sayang kepada Negara ini. Kita bebas melahir dan membentuk jati diri serta keluarga, membina kerjaya, juga bebas beribadah dan berdakwah dengan aman sejahtera tanpa perlu berhadapan dengan ancaman seperti yang dihadapi saudara kita di selatan Filipina dan Thailand, Myanmar, Afghanistan, Pakistan, Palestin, Syria, Iraq dll.
Hanya dengan berbekalkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah kita mampu mengatasi segala musibah dan cabaran. Selain kemerdekaan lahiriah dan fizikal, kita seharusnya memerdekakan dari segi spiritual dan mental. Rasulullah menyatakan kemenangan yang paling besar dan kemerdekaan yang hakiki ialah bebas daripada belenggu nafsu. Baginda sangat menekankan tentang adanya jihad (perjuangan) yang batin, maknawi atau jihad melawan hawa nafsu. Ketika balik dari satu peperangan yang dahsyat melawan kaum musyrikin, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
Kita baru kembali dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang lebih besar. Sahabat terkejut dan bertanya, “Peperangan apakah itu wahai Rasulullah?” Baginda berkata, “Peperangan melawan hawa nafsu!” (Riwayat Al Baihaqi)
Jelaslah bagi kita bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan dan menegakkan kedaulatan negara adalah jihad yang mulia, tetapi jihad atau perjuangan menentang nafsu dianggap semulia-mulia jihad.
Hadis di atas secara tidak langsung memberikan cabaran kepada umat Islam hari ini untuk mempersiapkan diri dengan sebaik-baik kekuatan dan keteguhan jiwa dan mental kerana cabaran yang mereka hadapi amat besar dan tidak setanding dengan kegagahan diri.
Malangnya dalam senerio perkembangan politik semasa orang-orang Melayu sudah banyak berpecah. Dan keadaan ini sesungguhnya adalah satu kerugian kepada bangsa Melayu yang saya anggap sebagai bencana yang akan memberi kesan kepada landskap politik di Malaysia pada satu hari nanti. Sekiranya kita mahu mengekalkan ketuanan Melayu di bumi bertuah ini perkara yang sedemikian tidak sewajarnya berlaku kerana musuh di sekeliling kita sentiasa menunggu peluang dan ruang untuk menggunakan kesempatan memerintah di negara ini. Marilah kita fikirkan bersama anak-anak warisan yang bakal kita tinggalkan ini. Masih adakah peluang-peluang untuk mereka di masa akan datang jika negara ini bukan kita lagi yang memerintah.
No comments:
Post a Comment