Wednesday, 23 July 2014

KENANGAN 2009 DI SERAWAK

NASI AYAM PENYET
              Salam Blogger Buat Semua,
                       Sebelum aku gi solat terawih  malam ini, beberapa keping photo di Serawak tahun 2009 yang ada dalam simpanan telah sempat aku uploadkan dalam blog ku ini.  Banyak peristiwa menarik semasa kunjungan kami ke Serawak. Kunjungan ini merupakan kunjungan PERTAMA kali kami ke negeri Bumi Kenyalang.
                     Aku masih ingat lagi pada awal tahun itu aku telah berjaya mendapatkan harga tiket ke Kucing, Serawak dengan harga tambang yang cukup menarik iaitu hanya RM80/- untuk seorang dengan Air Asia. Bermakna tambang kami berempat cuma RM320/- sahaja. Lebih kurang macam naik bas dari Melaka ke Langkawi. Tidak sabar rasanya nak tunggu tarikh penerbangan kami iaitu pada 1 Mei 2009 bersamaan hari Jumaat. Flight kami adalah lebih kurang pukul 5.00 petang. Inilah juga PERTAMA kali kedua-dua anak aku menaiki pesawat. Excitednya mereka susah nak digambarkan.
PAGI DI SARIKIN
                    Aku juga telah berjaya mendapatkan sebuah kereta serta seorang Guide. Tiba saja di Lapangan Terbang Kuching, Lok @ Guide mendapatkan kami dan membawa kami dengan kereta Mitsubishi Triton. Kami dibawa ke sebuah restoran yang kuanggap agak unik juga dekat tebing Sungai Serawak untuk makan malam. Kami dibawa ke My Village Barok. Di sinilah juga PERTAMA kalinya aku menikmati Nasi Ayam Penyet dan Mee Kolok. Seterusnya saya telah checkin di Hotel Merdeka Palace yang terletak berhadapan Padang Merdeka.
MEE KOLOK
                  Keesokan pagi selepas bersarapan di hotel, Lok telah menjemput kami untuk dibawa ke Sarikin. Sebuah pekan kecil yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia.
Banyak sekali produk dari Indonesia dijual di sini. Yang amat ketara sekali adalah tikar Serawak yang rupanya berasal dari Indonesia.
Banyak sekali kraf tangan Indonesia dijual di sini.
Aku sempat membeli beberapa helai kain songket Indonesia serta beberapa ukiran kraf tangan untuk dibawa pulang.
                Sepanjang 4 hari 3 malam di Serawak banyak tempat menarik yang telah dibawa oleh Lok. Antaranya adalah Cultural Village. Di sini terdapat pelbagai jenis rumah mengikut kaum yang terdapat di Serawak dan turut diadakan persembahan kebudayaan Serawak.
               Tempat yang paling aku suka di Kucing adalah barisan kedai lama dipanggil Bazar yang menjual barangan antik termasuklah ukiran-ukiran kayu yang menarik. Di sini aku telah membeli sebuah perisai kaum asli Serawak untuk digantung di dinding rumah. Kami juga sempat melawat dua buah muzium iaitu Muzium Negeri Serawak yang terletak bersebelahan hotel kami. Satu lagi muzium yang kami lawat adalah muzium Kucing.
TIKAR DI SARIKIN
              Kami juga telah dibawa ke sebuah kilang yang membuat pasu-pasu Serawak. Isteriku sempat membeli beberapa buah pasu untuk dibawa pulang.  Pada hari ketiga kami telah bertukar hotel iaitu Hotel Harbour View yang terletak dekat dengan Kuching Water Front  yang meriah pada waktu malam terutamanya.
              Kami juga sempat menaiki bot tambang untuk pergi membeli kek Serawak yang beranika warna itu. Kami juga telah dibawa oleh LOK ke The Spring iaitu salah satu pusat membeli belah yang terbesar di bandaraya Kuching.
             Kami meninggalkan Kuching pada petang Isnin setelah penat berjalan dan bersiar-siar di bandar raya ini. Berbaloi sungguh rasanya hanya dengan tambang RM320/ kami boleh berjalan sehingga ke bandaraya Kuching.


DEPAN HOTEL MERDEKA PALACE

DEWAN UNDANGAN NEGERI YANG BARU SIAP DIBINA

MAMA TERPIKAT DENGAN PASU SERAWAK

MENAIKI PERAHU TAMBANG

JETTY DEKAT WATER FRONT

DI CULTURAL VILLAGE

Monday, 21 July 2014

JALAN-JALAN CARI MAKAN- PULAU MUTIARA

SUP HAMEED DI UPPER PENANG ROAD
 Salam Blogger buat semua,
               Semasa aku berada di Pulau Pinang pada bulan September sehingga Oktober 2013 aku sempat mencuba pelbagai tempat tarikan makan yang popular di Pulau Pinang. Pulau Pinang bolehlah dianggap sebagai syurga makanan bagi yang kaki makan. Setiap hari selepas selesai kerja yang perlu disiapkan kami pasti akan dibawa berjalan oleh rakan-rakan dari PPD mahupun JPN Pulau Pinang untuk mencuba beranika jenis makanan istimewa yang terdapat di sekitar Pulau Mutiara.
               Sejak hari pertama lagi aku telah dibawa keluar untuk dibelanja makan oleh rakan PPD Timur Laut iaitu Encik Jainuddin dan rakan-rakan. Aku masih ingat lagi, kami dibawa ke Padang Kota untuk mencuba Mee Sotong yang sungguh lazat. Dan ditambah pula dengan ABC yang sungguh mengancam sekali. Berhampiran dengan Hotel B Suites pula terletak kedai Nasi Kandar Pelita yang amat popular di Pulau Pinang.
               Pada hari berikutnya selepas mengeposlaju soalselidik kami telah ke Upper Penang Road. Di sini pula terletak sebuah warung yang terkenal dengan pelbagai jenis sup. Tempat ini dikenali sebagai Sup Hameed. Sup dimakan dengan roti amat menyelerakan.  Selain daripada Nasi Kandar Pelita yang banyak terdapat di pulau ini terdapat banyak lagi kedai Nasi Kandar yang popular.  Antaranya yang diberitahu oleh rakan-rakan adalah Nasi Kandar Line Clear di Penang Road.
                Selain Nasi Kandar, di Pulau Pinang juga terkenal dengan Pasembur nya yang merupakan makan yang mesti dicuba jika berada di Pulau Pinang. Banyak terdapat tempat yang menjual Pasembur. Antara tempat yang mesti dan wajib pergi adalah di Gurney Drive berdekatan dengan Gurney Plaza. Tempat ini sememangnya menjadi lokasi kegemaran ramai termasuklah pelancong asing.  Kami juga telah dibawa makan di Telok Bahang oleh rakan di JPN untuk mencuba Mee Udang di warung Mee Udang Ayu. Kebiasaannya selak mee nampak Udang tetapi di sini selak Udang barulah nampak mee. Nak menunjukkan betapa banyaknya udang dalam mee.
              Kami juga dibawa makan Char Kui Tiau Special di Sg Dua pada malam terakhir di Pulau Pinang.  Bercakap tentang Nasi kandar, kami sempat mencuba Nasi Kandar Deen di Jelutong. Pada jam 11.00 malam masih ramai yang beratur panjang untuk mendapatkan Nasi Kandar. Di Telok Bahang kami telah mencuba Nasi Kandar Khaleel yang dibelanja oleh pihak sekolah yang dilawati.
Aku juga sempat dibawa oleh Encik Mustafa, Kaunslor dari PPD Barat Daya untuk makan Kari Ikan  di Kuala Sungai Pinang yang amat special terletak di Balik Pulau.
              Kami juga sempat mencuba Laksa Janggus yang juga terletak di Balik Pulau pada satu petang. Satu lagi kegemaran ku di sini adalah ABC Mangga yang boleh meleleh air lior. Ada beberapa lagi tempat yang sempat kami kunjungi untuk mencuba pelbagai lagi makanan istimewa di Pulau Pinang. Malangnya masih ada beberapa lagi tempat yang tidak sempat kami kunjungi kerana kami cuma berada selama dua minggu sahaja di Pulau Pinang.


WARUNG SUP HAMEED


ANTARA WARUNG YANG TERDAPAT DI PADANG KOTA


KRIS MENCUBA ROTI TISU DI KEDAI NASI KANDAR PELITA

PASEMBUR DI GURNEY DRIVE



ABC MANGGA


LAKSA JANGGUS DI PADANG KOTA


NASI KANDAR DEEN DI JELUTONG


ISTERIKU MENCUBA LAKSA DEKAT QUEENSBAY MALL




LAKSA JANGGUS DI BALIK PULAU



RESTORAN NASI KANDAR KHALEEL DI TELOK BAHANG

NBOS DI PULAU PINANG 2013

SEKOLAH YANG PERNAH AKU MENJALANI PRAKTIKAL TAHUN 1980
           Salam Blogger buat semua pembaca,
                  Alhamdulillah malam ini selepas balik dari solat terawih di PPD Melaka Tengah tadi aku berkesempatan untuk mencoretkan sedikit pengalaman yang aku alami semasa membantu Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran Malaysia menjalankan kajian NBOS @ National Blue Ocean Strategy di Pulau Pinang selama dua minggu pada 22 September sehingga 4 Oktober 2013 yang lalu. Kajian ini adalah untuk melihat beban tugas guru di sekolah selepas ditempatkan seorang PT N17 serta seorang FT yang membantu dari segi teknikal.Sekolah-sekolah yang terlibat adalah di BahagianTimur Laut dan Bahagian Barat Daya. 
                 Dalam mesyuarat yang diadakan di Kementerian Pelajaran Malaysia pada  petang 20 September 2013 aku mendapat tahu bahawa aku telah diminta untuk ke Pulau Pinang untuk menjalankan kajian beban tugas guru-guru di sana untuk selama 2 minggu. Pada petang 22 September isteri ku dan anak-anak telah menghantar aku ke KLIA kerana flight ke Pulau Pinang adalah pada kira-kira jam 6.30 petang. Saya turut membawa sama 12 bungkusan soalan-soalan soal selidik. Saya dan seorang rakan lagi - Kris telah selamat sampai di Lapangan Terbang Bayan Lepas pada kira-kira jam 7.30 malam. Kami telah ditempatkan di Hotel B Suites yang kedudukannya tidak begitu jauh dari JPN Pulau Pinang.
               Pada pagi Isnin 23 September aku telah memberikan taklimat di Bilik Mesyuarat di JPN Pulau Pinang. Taklimat aku turut dihadiri oleh Tuan Pegawai Pendidikan Daerah Barat Daya. Selebihnya adalah pegawai-pegawai dari JPN dan PPD Barat Daya dan Timur Laut. Turut bersama adalah beberapa orang kaunselor sekolah yang terpilih untuk membantu menjalankan kajian melalui soal selidik. Perjalanan kami ke sekolah dibantu oleh pihak JPN Pulau Pinang. Sekolah pertama yang aku pergi adalah SMK Haji Zainal Abidin di Jalan Hamilton. Aku telah diiringi oleh seorang pegawai dari Unit Pengurusan Sekolah JPN Pulau Pinang.
             Sekolah-sekolah lain yang sempat aku kunjungi adalah SK Dato Keramat, Jalan Perak.
Aku sempat juga pergi ke SMK Convent Green Lane. Aku teringatkan Nicole David jaguh sukan Squash negara yang pernah bersekolah di sini. Di SJKC Eok Hua, Telok Bahang aku berjumpa dengan Guru Besar yang akan bersara pada penghujung tahun 2013. Bersemangat Guru Besar bercerita tentang rancangan beliau selepas bersara nanti.  Aku juga sempat berkunjung ke SJKC Chung Shan. Sekolah ini agak lama juga usianya dan terletak sangat hampir dengan Lapangan Terbang bayan Lepas.
           Sekolah-sekolah lain yang sempat aku kunjungi adalah seperti SMK P St George, SJKC Cong Teik, SK Convent Light Street, SMK Jelutong, SMK Abdullah Munsyi, SMK Sg . Ara, SMK St Xavier Institution dan beberapa sekolah lagi. Satu lagi perkara yang aku menyedari daripada kajian yang dijalankan adalah kebanyakann guru di Pulau Pinang bukannya tinggal di bahagian pulau tetapi kebanyaknya tinggal di kawasan-kawasan yang agak jauh seperti Sungai Petani, Kulim, Bukit Mertajam, Nibong Tebal dan beberapa tempat lagi. Keadaan adalah disebabkan harga rumah di Pulau Pinang yang sangat tinggi dan menyebabkan kebanyakan mereka terpaksa berulang alik dalam jarak yang sangat jauh sekali.
         Apa-apa pun aku rasa amat bersyukur dengan keadaan aku di Melaka.

MENJAWAB SOALSELIDIK DI SK FRANCIS LIGHT


BAHAN SOALSELIDIK DIPOSLAJUKAN SETIAP PETANG.

BERGAMBAR BERSAMA GURU BESAR YANG AKAN BERSARA

DI SJKC EOK HUA, TELOK BAHANG

SJKC CHONG TEIK

SEKOLAH DEKAT LAPANGAN TERBANG BAYAN LEPAS











BERSAMA PENGETUA SMK JELUTONG YANG BERCERITA TENTANG PENDIDIKAN KHAS







TAKLIMAT DI JPN PADA 23/9/13












ISTERI DAN ANAK-ANAKKU DI KLIA PADA 22/9/13


SOALAN SOALSELIDIK YANG AKU BAWA BERSAMA


BERSELFIE DALAM FLIGHT PADA PETANG 22/9/13


SEBUAH APARTMEN DEPAN HOTEL B SUITES