Monday, 13 October 2014

GAPURA DI BALI

    

      



Salam Blogger Buat Semua Pembaca,
                   Berkunjung ke Bali tahun lalu, memberi peluang untuk melihat sendiri keunikan senibina di sana. Ringkasnya, orang Bali sangat berseni dan menitikberatkan hiasan pada kediaman atau setidak-tidaknya pura kecil milik mereka dihiasai indah di laman. Dekorasi pada premis-premis perniagaan tak kurang hebatnya.   Semasa kunjungan aku dan keluarga ke Bali pada Disember 2013 yang lalu, aku agak tertarik dengan Pintu Gerbang Bali yang boleh dikatakan terdapat di merata-rata tempat di Denpasar, daerah Sanur, Tanjung Beneo dan di sepanjang jalan yang aku lalui semasa di sana.    

                 Semasa berada di hotel-hotel yang terdapat di Bali, Pintu Gerbang ini bolehlah dianggap sebagai satu hiasan yang wajib ada dalam menghiasi landskap di taman-taman yang terdapat di kawasan hotel. Aku sempat menginap dua buah hotel iaitu Hotel Puri Sading di Sanur dan Hotel Holiday Villa yang terletak di kawasan peranginan Kuta. Di kedua-dua hotel tersebut juga terdapat Pintu Gerbangnya dihias indah walaupun hotel-hotel tersebut tidak begitu besar malah kadang-kala bilangan kamarnya hanya berjumlah 20 unit sahaja.
                  Malah semasa kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai atau disebut dalam bahasa Indonesianya Bandara Udara Ngurah Rai pada jam 3.00 pagi di lapangan terbang itu sendiri ada dihiasi dengan Pintu Gerbang yang menjadi mercu tanda kebanggaan masyarakat  Hindu di Bali.
                 Istilah lain yang digunakan untuk Gerbang adalah Pintu atau di Bali mereka sebut  sebagai Gapura. Sesungguhnya Pintu Gerbang di Bali ini mempunyai pengaruh daripada Hindu - Buddha di Nusantara. Aku agak terpegun dengan hiasan di laman-laman hotel serta kediaman yang amat mencuri perhatian ku sepanjang lima hari berada di sana. Ingin saja aku terbang ke sana lagi jika diberikan ruang dan kesempatan di masa-masa akan datang.




   new1

No comments:

Post a Comment