Saturday, 22 March 2014

KEMANUSIAAN SEJAGAT

  Salam buat semua pembaca blogku ini,
                 Sudah beberapa hari aku tidak menulis dalam blog ku ini. Cuti sekolah baru saja bermula semalam. Semalam aku sempat turun ke Singapura bersama 8 orang Kaunselor dari sekolah Daerah Melaka Tengah untuk melihat peluang-peluang melanjutkan pelajaran selepas selesai SPM untuk para pelajar. Kami telah ke PSB Akademy, Singapore  yang kebetulan menyambut ulang tahun ke 50 tahun kewujudannya di Singapura. PSB Akademy adalah salah satu IPT Swasta yang hebat di Singapura.
                Aku tergerak untuk menyentuh tentang soal kemanusiaan pada pagi ini. Aku pun sebenarnya sudah lebih 10 tahun menguruskan Hal Ehwal Pembangunan Kemanusiaan sejak berada di PPD Melaka Tengah.  Dan sebelum itu urusan yang sama juga semasa berada di barisan pentadbiran di dua buah sekolah.  Sebenarnya aku agak tersentuh apabila aku terdengar sebuah lagu nyanyian John Lennon yang bertajuk Imagine.  Lagu yang amat bermakna yang berkait rapat persoalan kemanusiaan dan dengan peristiwa yang sedang berlaku di sekeliling kita pada masa ini.  Nilai-nilai negatif dan tidak sihat yang kuat tertanam dalam jiwa manusia. Peristiwa kehilangan MH 370 masih belum ada nokhtahnya pun berkait rapat dengan soal kemanusiaan. Pelbagai persoalan masih belum terjawab. Semua perkara yang berlaku ini adalah disebabkan sikap ketidakpuasan hati di kalangan kita. Maka berlakulah perang dingin sesama manusia dan antara kuasa-kuasa  besar dunia. Satu pihak berusaha menghancurkan pihak yang satu lagi dengan pelbagai usaha. Dari usaha yang yang paling mudah seperti menyebarkan fitnah perkara yang tidak benar berkaitan individu tertentu sehinggalah ke tindakan yang lebih dashyat lagi iaitu - Peperangan. Maka keluarlah frasa yang berbunyi "niat menghalalkan cara". Perkara ini memaksa aku menerima hakikat bahawa kita adalah manusia. Dan manusia itu bukannya malaikat. Tiada sesiapa yang perfect di muka bumi  Allah ini. Seorang ulamak pun tidak terkecuali daripada melakukan kesalahan.  Malah tiada sesiapapun terkecuali  daripada soal melakukan kesalahan termasuklah negarawan agung selagi kita bernama manusia. Kita tidak tahu apa Allah tahu dari ujian yang diberi. Jangan hanya satu kesalahan kita membenci seseorang itu habis-habisan. Kemungkinan semasa kita sedang memikirkan 10 kejahatannya, orang yang kita benci itu sedang mengingatkan 20 kebaikan yang kita pernah buat terhadapnya. Selagi dunia ini masih berputar selama itu jugalah perkara itu akan terus berlaku dan terus berlaku.
           Aku ingin mengakhiri entry aku kali ini dengan sebuah lagu  John Lennon dari kumpulan Beatle iaitu Imagine. Lagu ini dinyanyikan oleh seorang pemuda cacat dari Iraq yang telah dibesarkan oleh seorang wanita Australia yang amat bersimpati dan tinggi nilai kemanusiaannya dengan nasib yang dialami oleh anak-anak kecil dari Iraq selepas tamat zaman peperangan di bumi Iraq. Selamat mendengar. Jangan lupa sediakan tisu!

No comments:

Post a Comment