Assalammualaikum wbt.
Terlebih dahulu izinkan saya memperkenalkan diri saya. Nama penuh saya : Mohd Sharom bin Mohd Shariff. Berasal dari negeri Melaka Bersejarah. Tetapi telah dibesarkan di merata tempat lantaran ayah bekerja sebagai anggota Polis. Saya pernah bersekolah di Ipoh, Perak kemudian bertukar ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Selepas selesai di Tingkatan 6 saya telah ditawarkan masuk ke sebuah IPG di Pulau Pinang. Syukur alhamdulillah saya menganggur tidak lama. Atas nasihat Mak saya turutkan kehendak emak. Setelah berada selama dua tahun di MPPP saya telah dihantar mengajar di negeri Pahang. Pertama kali saya menjejakkan kaki di Pahang ketika itu pada tahun 1981. Lima tahun saya berada di Pahang dan hanya di sebuah sekolah sahaja iaitu di SK Kampung Bukit Dinding, Jerantut, Pahang dari tahun 1981 hingga 1985.
Hujung tahun 1985 saya mendapat khabar bahawa saya berjaya bertukar ke negeri Sembilan. Saya telah ditempatkan di SK Palong 3, Jempol pada awal tahun 1986. Seronok mengajar di sini di kawasan tanah rancangan. Jodohku tidak lama di sekolah ini kerana pada pertengahan tahun 1986 aku telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke UPM. Menangis hati kecilku kerana hati ku dah mula nak berbunga ketika di sini. Demi masa depan ku, aku terpaksa meninggalkan sekolah ini. Sekali sekala ketika bercuti aku datang juga ke sekolah ini untuk berjumpa rakan-rakan yang aku tinggalkan begitu juga dengan seorang gadis yang aku dah mula jatuh hati. Tetapi lama kelamaan hubungan ini menjadi semakin dingin lantaran faktor jarak dan mungkin juga disebabkan kesibukan ku di kampus. Aku gembira kerana aku mendapat tahu bahawa selepas aku melanjutkan pelajaran seorang demi seorang rakan-rakanku di sekolah telah mengikut jejak langkahku ke universiti.
Tamat pengajian ku pada penghujung tahun 1989, aku telah ditempatkan di negeri Melaka, negeri kelahiran ku. Mula-mula aku ditempatkan di SMK Datuk Haji Talib Karim, Alor Gajah. Kemudian aku telah dipindahkan ke SMK Sultan Mansor Shah. Selang dua tahun kemudian aku telah berpindah ke SMK Canossa Convent di Ujung Pasir, Melaka. 10 tahun aku berada di sekolah ini. Aku teramat berat hati nak meninggalkan sekolah ini. Maklumlah 10 tahun, bukannya jangka masa yang singkat. Banyak kenangan indah terpahat di sini. Sayangnya aku nak meninggalkan sekolah ini. Aku rasa nak bersara sahaja di sekolah ini. Itu tekad aku selepas beberapa tahun aku berada di sini. Cinta ku kepada sekolah ini Bukan Cinta Biasa.
Atas tuntutan tugas aku terpaksa jua meninggalkan sekolah ini pada 1 April 2002. Aku ditawarkan jawatan sebagai GPK HEM di SMK Bukit Katil. Bermulalah sejarah hidup ku sebagai seorang pentadbir sekolah. Jodohku juga tidak lama di sekolah ini. Aku terpaksa meninggalkan sekolah ini pada tahun 2004. Aku digerakkan ke SMK Bukit Baru juga sebagai GPK HEM. Tahun 2006 aku telah ditawarkan sebagai Penolong PPD Pembangunan Kemanusiaan di PPD Melaka Tengah. Satu jawatan yang aku fikirkan begitu mencabar. Aku kata mencabar kerana dua orang pegawai-pegawai sebelum ini hanya bertahan selama satu tahun sahaja menjawat tersebut.
No comments:
Post a Comment