Friday, 11 April 2014

HEART PALPITATIONS - PENGALAMAN PERTAMA DI HOSPITAL

           Salam Blogger buat semua pembaca,
           Malam ini aku tertarik untuk menceritakan tentang  pengalaman yang aku alami beberapa hari lalu sehingga aku dimasukan ke wad Hospital Pantai, Air Keroh selama tiga hari  dua malam bermula dari 6 April sehingga 8 April 2014 yang baru lalu. Sebenarnya aku telah merasai satu keadaan yang luar biasa pada degupan jantungku beberapa hari sebelum itu lagi. Aku jenis manusia yang suka buat tak kisah tentang serba serbi termasuklah apabila keadaan degupan jantungku yang berkeadaan di luar kebiasaan. Pada ku keadaan itu adalah biasa aje. Lambat laun ia akan kembali seperti normal. Tapi kali ini walaupun dan beberapa hari keadaan itu tidak berhenti sehinggalah ke hari Isnin 6/4/14.     
           Semasa berserapan pada pagi Isnin di warung belakang Mahkamah Melaka bersama Timbalan PPD dan seorang kenalan, isteriku menelefon beberapa kali mengajak berjumpa doktor. Aku masih degil dengan sikap sambil lewaku dan berkata tak payahlah sehinggalah ke malam selepas makan isteriku beria-ia mengajak barulah saya ke Klinik Al Azim, Bukit Baru. Dr. Rifaie yang bertugas malam itu mengambil tekanan darahku terus menyedarkan aku. Ukuran yang normal adalah dalam lingkungan 140/75. Setelah diambil bacaan, tekanan darahku cuma 130/52. Saya akan keluarkan surat, malam ni juga Cikgu ke pergi ke Hospital Pantai.
           Sampai di Hospital Pantai, malam itu juga aku diarahkan ke Bahagian Kecemasan. Sekali lagi bacaan tekanan darahku diambil dan selepas itu darah mula diambil. Aku terus dimasukkan di wad di tingkat 4. Aku terus mesej kepada rakan ofis melalui Whatapps. Rakan-rakan memberikan semangat serta doa agar cepat sembuh. Antaranya - Take it  easy bro...insyallah kami doakan supaya smuanya ok, Semoga cepat sembuh dan bersabar mhadapi dugaan, Fikir yg baik, tenangkan diri dan rehat cukup. Insyallah sihat, dia suruh rehat tu, asyik keja jee moga cpt sembuh dan banyak lagi.
         Terima kasih rakan-rakanku yang sentiasa memberi semangat dan mendoakan untuk aku. Aku amat terharu dengan simpati yang ditunjukkan serta doa oleh rakan ofisku. Aku maklumkan juga pada ibu di kampung. Mula-mula aku rasa keberatan nak bagi tahu. Tapi setelah berfikir kemungkinan yang buruk-buruk, aku terus memaklumkan aje. Aku sebenarnya tidak mahu merisaukan hati ibu dan ayah di kampung.
        Pada hari kedua aku di Hospital Pantai, degupan jantung ku sudah seakan normal setelah aku diberikan beberapa jenis ubat serta suntikan di bahagian perut. Pada petang Selasa aku telah berjumpa dengan Dr Tay Mok Heang, Doktor Pakar Kardiologi. Aku telah diberikan beberapa jenis ujian untuk melihat tahap kesihatan jantungku termasuklah Ujian Latihan Treadmill yang amat memenatkan walaupun dalam keadaan berjalan. Malah jantungku juga telah di scan untuk melihat kondisi jantungku yang sebenar. Akhirnya Dr Tay telah menerangkan kepada aku bahawa keadaan jantungku tiada masalah. Dan dia telah menyebutnya sebagai Unknown Cause. Keadaan yang aku alami ini disebut sebagai Heart Palpitation. Ataupun bermaksud the feelings of having rapid, fluttering or pounding heart. Heart Palpitation adalah disebabkan oleh keadaan anxiety, stress, panic attack or fear, exercise, fever, cocaine or other illegal drugs.
         Apa-apapun alhamdulillah pada pagi Rabu aku telah diberikan kebenaran untuk balik. Terima kasih juga kepada rakan-rakanku yang telah sempat mengunjungi aku semasa aku berada di dalam wad. Sesungguhnya ini adalah pengalaman pertamaku berada di wad hospital. Aku ingin akhiri postku kali ini dengan sebuah lagu dari David Gates yang bertajuk  Goodbye Girls khas untuk jururawat - jururawat di tingkat 4 Hospital Pantai, Melaka yang telah melayan aku sepanjang 3 hari 2 malam aku berada di sana. Anda semua memang hebat dan penyabar melayan pelbagai karenah patient. GoodBye Girls

Saturday, 5 April 2014

PERMAINAN POLITIK DI PEJABAT

    
 
Bagaimanakah kita hendak menjadi pemimpin yang baik? Kita harus sedar bahawa pemimpin yang baik akan memberikan kesan yang amat besar terhadap masa depan Islam dan umatnya. Kita juga hendaklah memahami bahawa soal kepimpinan mempunyai kaitan yang amat besar dengan dosa dan pahala dan ia adalah sebahagian tindakan atau perbuatan yang tidak terlepas dari penghakiman Allah terhadap kita pada hari kiamat kelak.”

“Firman Allah dalam Surah al-Muddathir ayat 38 yang bermaksud : “Setiap diri terikat (bertanggungjawab) dengan apa yang telah dikerjakannya”. “

 
Salam Blogger buat semua pembaca,
                     Malam ini aku agak tertarik nak bercerita tentang amalan politik yang berlaku di pejabat.   Segala amalan yang tidak sihat ini kadang - kala amat menyakit mata dan juga hati.  Sebenarnya dalam soal kenaikan pangkat kita, faktor takdir dan rezeki turut memainkan peranan. Sesungguhnya tuhan itu maha mengetahui siapa yang selayaknya untuk diberikan penghargaan dan kenaikan pangkat.  Dan sekiranya tidak dapat apa yang dihajati selama ini, pandai-pandailah kita muhasabah diri. Janganlah menuding jari menyalahkan orang lain yang kononnya telah menghalang cita-cita kita ke arah itu.
                   Salah satu yang paling menyakitkan hati dalam politik pejabat adalah apabila berjumpa dengan sahabat  Mr. Tikam Belakang @ MTB.  Pada hal mereka ini kawan-kawan rapat kita juga. Tetapi apabila MTB terlalu mengharapkan jawatan tertentu yang sekian lama dihajati macam - macamlah cerita buruk pesaingnya didedahkan dalam mesyuarat pegawai kanan dengan harapan pesaingnya itu mendapat imej yang buruk di kalangan pegawai atasan.  Kesian sahabatnya yang tidak tahu menahu, tidak tentu pasal imejnya tercalar dalam meeting pegawai kanan. Sedangkan perkara yang dilaporkan itu adalah di luar pengetahuan pesaingnya itu. Dan pesaingnya itu pulak tidak ada langsung cita-cita ke arah merebut jawatan tersebut.  Inilah kerja-kerja MTB yang berusaha mencari platform untuk merosakkan  imej sesiapa yang dianggap sebagai pesaing rapatnya. Rasanya kalau kawannya tahu perkara tersebut berlaku, kawannya akan berkata " kau ambil jer lah jawatan itu, aku pun tak ingin". Apalah agaknya perasaan MTB apabila mendapat tahu perkara tersebut? Menambahkan  dosa jer bercerita perkara yang tidak benar.
               Dan yang paling teruk sekali ada pulak golongan yang kita boleh panggil Mr Surat Layang @ MSL. Golongan ini kerjanya menulis surat layang untuk memburuk-burukkan individu-individu tertentu kerana MSL ini juga mempunyai cita-cita tinggi dalam kejayanya. Kerja mengarang surat ini diserahkan kepada macainya yang boleh dipercayai. Kemudian surat tu diforwardkan kepada orang-orang atas sehinggalah ke pihak kementerian. Berduyun-duyunlah orang atas datang untuk menyiasat kes yang tiada kebenarannya. Golongan ini juga berani menyebarkan fitnah demi kepuasan sendiri kerana sakit hati.
                 Orang ketiga dalam hal politik pejabat ini adalah Mr. YoYo @ MYY. Untuk pengetahuan MYY ini akan menyanggupi melakukan apa saja dalam yang diserahkan asalkan namanya disebut-sebut oleh pegawai kanan sebagai seorang pegawai yang berkebolehan melakukan apa saja kerja yang diserahkan.  Lantaran itu namanya akan disanjung orang. Tapi sebenarnya Tuhan lebih tahu apa nawaitu yang ada dalam hati MYY itu. Kerja yang dilakukan itu ikhlas atau sebaliknya.
                Sebenarnya berpolitik dalam pejabat itu ada ketikanya perlu.  Tanpa politik, we are nobody. Our presence not felt and our absence not missed. Sebagai orang di atas kita perlu build our network and allies. Kalau tiada sokongan siapa yang nak tolong kita nanti? Tapi kalau dah over sangat itu, orang lain pun naik menyampah.
               Kalau nak naik pangkat..naik lah..tiada orang menghalang..tetapi jangan memijak kepala orang lain. Kalau nak berbaik dengan bos...berbaiklah..belanjalah bos.  Tapi jangan sesekali memburukkan orang lain. Jangan sesekali mengatakan perihal orang lain...dan jangan sesekali aniaya orang lain demi nak menjaga kepentingan diri sendiri dalam jabatan. Kalau dah tak dapat menjadi Ketua, janganlah pula mensabotaj orang yang sudah dengan rasminya dilantik sebagai Ketua. Tuhan itu maha adil lagi maha mengetahui apa yang terbaik untuk sesuatu itu. Firman Allah dalam Surah Al-An’am Ayat 115, ‘Telah sempurna Kalimat-Kalimat Tuhanmu dengan kebenaran dan Keadilan. Tidak ada perubahan-perubahan pada kalimatNya.  Ia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
                Oleh  itu sama-sama kita berusaha untuk menaikan nama organisasi yang selama ini kita cari makan. Saya ingin akhiri post saya kali ini dengan sebuah lagu Korea - My Memory yang amat saya minati kerana melodinya yang mengusik perasaan ketika menonton drama Winter Sonata beberapa tahun lalu. Akhir kalam marilah kita menginsafi atas segala kesilapan yang sudah kita lakukan sebelum ini secara sedar atau tidak. Amin