Sunday, 2 October 2016

ROEMAHKOE HOLIDAY HOME : ANTARA GAJI DAN REZEKI

            Assalammualaikum wbt.,

            Lamanya aku tidak menulis di ruangan ini. Terlalu sibuk dengan pelbagai urusan dunia. Banyak tempat yang telah kujelajahi dalam tempoh kehilangan aku dalam ruang ini. Aku tidak sempat berkongsi. Entah apa sibuknya aku sampai aku tidak sempat membuat apa-apa. Aku sendiri tak tahu. Mungkin disebabkan oleh urusan guesthouseku yang sudah masuk bulan yang ke 59. Lajunya masa berlari meninggalkan kita. Dalam masa 3 bulan lagi kita akan masuk tahun 2017. Alhamdulillah kehadiran tetamu pada setiap bulan tidak putus-putus. Malahan aku sudah ada tempahan untuk bulan Oktober, November dan juga pada Disember nanti. Inshallah pada bulan Disember nanti aku akan menambah satu lagi koleksi guesthouseku di kawasan Bukit Baru, Melaka. Sungguh agak memenatkan apabila tetamu tiba serentak di guesthouseku. 
           Untuk tujuan promosi aku telah menggunakan segala saluran media sosial yang terdapat seperti Instagram, Facebook Page dan Twitter. Aku juga menggunakan saluran-saluran lain yang terdapat seperti Booking.com, Agoda, HomeAway dan Airbnb. Alhamdulillah saluran-saluran ini telah banyak membantu. Saluran-saluran ini memberi aku guest dari luar negara. Misalnya pada cuti Hari Raya Haji yang lalu aku menerima kunjungan tetamu dari Libya. Aku juga ada menerima tempahan dari beberapa negara luar yang lain seperti dari Australia, Hong Kong dan beberapa negara lain.
           Segalanya adalah sebagai persediaan untuk persaraan ku yang akan menjelang tiba dalam masa tiga tahun lagi. Memang agak memenatkan menguruskan 2 buah guesthouseku setakat ini. Tapi menyeronokan apabila dapat mengenali ramai kenalan baru. Malah ada rakan mencadangkan supaya aku membuka sebuah hotel budjet yang kurang memenatkan. Aku sedang menimbangkan cadangan-cadangan itu. Walaupun hotel budjet tapi kosnya agak tinggi juga. Dan bilangan hotel di Melaka kini pun semakin bercambah bagai tiada hentinya. Dalam masa yang sama juga terdapat juga hotel- hotel yang ditutup kerana tidak mampu untuk bersaing dengan hotel-hotel besar bertaraf 5 bintang.
          Harapan ku impian ini akan tercapai jua jika usaha ini dijalankan secara berterusan tanpa jemu.  Barulah kini aku tahu bezanya antara gaji dan rezeki. Lebih berusaha maka lebihlah rezeki yang akan masuk.
       

ROEMAHKOE HOLIDAY HOME DI KLEBANG BESAR, MELAKA



ROEMAHKOE HOLIDAY HOME DI BUKIT BARU MELAKA

Friday, 10 June 2016

MENGUKUR TAHAP KEIMANAN

Assalammualaikum wbt dan Ramadan Mubarak,

Entah apa mimpiku semalam aku boleh tergerak untuk menulis semula di blog ku ini yang sudah penuh berabuk. Hampir lebih 7 bulan aku tidak menulis dalam blog ku ini.
Selamat berpuasa buat semua rakanku yang mengikuti blog ku ini.  Aku pun tidak tahu mengapa aku tiba-tiba dingin untuk menulis dan meluahkan perasaan ku ini.  Hari ini sudah masuk hari ke enam umat islam berpuasa. Segala rutin kerja berjalan lancar. Cuma minggu depan anak-anak akan mula bersekolah dan terus berpuasa. Cepat sungguh masa berlalu pergi. Aku ingin berkongsi dua kisah yang aku dengar semalam yang berkaitan dengan bulan puasa yang kita lalui sekarang.

Kisah 1 :
Aku berjumpa dengan seorang rakan pada suatu subuh di sebuah masjid (tak perlu aku bagi tahu di mana). Selepas saja selesai berdoa selepas solat subuh hamba allah ni telah teresak menangis. Aku yang berada bersebelahan insan ini tertanya-tanya dalam hati mengapa beliau menangis. Dan dari perbualan kami selepas itu beliau mencurahkan rasa sedihnya kerana bilangan hari untuk berpuasa sudah semakin berkurangan. Hatiku berkata - kata sendiri tinggi sungguh nilai keimanan sahabatku ini. Sayang nak berpisah dengan bulan Ramadan  dan sedih sebab hari dalam bulan Ramadan sudah semakin kurang. Tetapi di sebaliknya ada ramai orang yang tak sabar-sabar menunggu selesai bulan Ramadan dan tak sabar-sabar untuk menantikan hari lebaran yang akan menjelma tak lama lagi.

Kisah 2 :
Cerita kedua ini tentang seorang pemuda yang aku dengar dari isteriku semasa berbuka semalam.
Mengisahkan tentang seorang pemuda yang sangat seronok bersolat terawih. 11 rakaat di masjid Al Ehsan tidak mencukupi. Beliau terus ke masjid al Azim untuk sambung bersolat terawih. Dan seterusnya bertadarus sehinggalah berqiamulail di masjid al Azim. Itulah yang sepatutnya kita buat di bulan Ramadan ini. Mengumpul seberapa banyak bekalan yang boleh. Dalam pada itu aku terfikir juga nak menghabiskan 11 rakaat itu pun sudah tidak larat berdiri mengantuk dan keletihan sangat-sangat. Malah pengunjung masjid / surau sudah mula berkurangan walaupun baru 6 hari kita berpuasa. Ada aktiviti lain di luar sana yang lebih menyeronokan dan menarik kita ke sana dengan lebih lama dan tidak mengantuk lagi.

Dari kisah-kisah ini dapatlah kita mengukur dan menilai diri kita sendiri. Di tahap manakah kita sebenarnya kita sedang berada?

Shukran Jazeelan.